Fahami maksud 'pecah minyak', cara pastikan cili benar-benar dah masak... Individu baru masuk dapur perlu tahu
BAGI mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke dapur, memasak sememangnya menjadi sesuatu yang sukar apatah lagi jika langsung tidak pernah mendapat bimbingan.
Tidak sekadar mengikut sukatan bahan, beberapa istilah seperti 'pecah minyak' juga sering membuatkan ramai individu yang baru belajar memasak terpinga-pinga.
Begitulah situasi dihadapi seorang wanita yang mengakui baru belajar memasak dan meminta tunjuk ajar daripada warganet yang lebih mahir.

Menurutnya, dia ingin mengetahui maksud beberapa istilah sering digunakan dalam dunia masakan tetapi sukar difahami individu seperti dirinya yang baru berjinak-jinak di dapur.
"Hi. I baru nak belajar masak. Apa maksud pecah minyak, macam mana nak tahu cili tumis tu dah masak, macam mana nak tahu minyak tu dah panas? Apa lagi I kena tahu eh?" soalnya.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai sehingga dibanjiri pelbagai tip berguna daripada netizen yang sudi berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman masing-masing.
"Pecah minyak tu maksudnya minyak dan air terasing. Minyak punya lapisan timbul kat atas tapi hati-hati sebab beberapa resipi memang perlu pecah minyak seperti kari, sambal.
"Beberapa resipi pula tak boleh pecah minyak macam masak lemak cili api," kata seorang individu.
MENARIK DIBACA: Masalah kari susah pecah minyak selesai dengan tip 'tumis awal', guna santan kotak pun menjadi!
MENARIK DIBACA: Rahsia orang dulu masak sedap lain macam! Kena sabar, guna petua pecah minyak 3–4 kali
Berikut disertakan ringkasan berkaitan istilah 'pecah minyak' dan beberapa perkara asas dalam menumis bahan.
1. Cara nak tahu minyak dah panas
Ramai menjelaskan cara paling mudah ialah dengan meletakkan tangan beberapa inci di atas permukaan kuali untuk merasai haba yang keluar daripada minyak.
Selain itu, boleh juga memasukkan sedikit bawang yang telah dihiris ke dalam minyak.
"Letak je bawang yang dah hiris tu. Nanti bila dia dah bunyi maksudnya dah panas dan 'ready' untuk masak," kongsi seorang netizen.

2. Cara nak tahu sambal sudah pecah minyak
Menurut seorang lagi netizen, tanda paling jelas ialah minyak akan mula timbul dan berkumpul di bahagian tepi sambal selepas ditumis beberapa minit.
"Orang tua-tua pesan bila masak makanan yang dah pecah minyak makanan tu lambat rosak dan bila makan guna tangan minyak tak melekat," kongsi netizen lain.

3. Cara kenal pasti cili tumis sudah masak
Menurut seorang netizen, antara tanda paling mudah untuk mengenal pasti cili tumis sudah benar-benar masak ialah apabila warna cili bertukar menjadi lebih gelap.
Selain itu, bau cili mentah juga akan hilang dan digantikan dengan aroma sambal yang lebih harum.
"Warna cili juga akan berubah menjadi lebih gelap, manakala bau cili mentah akan hilang dan digantikan dengan aroma sambal yang lebih wangi," komen netizen.