Secawan kopi waktu pagi, risiko mati berkaitan jantung 31 peratus lebih rendah - Kajian
BAGI penggemar kopi, memulakan hari tanpa mengambil minuman ini ibarat tidak lengkap rutin harian.
Ada yang cukup dengan secawan kopi pada waktu pagi dan ada juga individu gemar menikmatinya beberapa kali sehari.
Menurut laporan, waktu minum kopi mungkin sama pentingnya dengan jumlah kopi yang diambil.
Satu kajian dari Universiti Tulane di New Orleans, Amerika Syarikat mendapati pengambilan kopi pada waktu pagi mempunyai kaitan dengan risiko kematian akibat penyakit jantung yang lebih rendah.

Penyelidik yang menganalisis data daripada 40,725 orang dewasa di negara itu.
Pasukan penyelidik kemudian meneliti rekod kematian dan puncanya dalam tempoh kira-kira sembilan hingga 10 tahun.
Kira-kira 36 peratus mereka yang dikaji minum kopi terutamanya pada waktu pagi, 16 peratus menikmatinya sepanjang hari, manakala 48 peratus lagi tidak minum kopi.
MENARIK DIBACA: Buat kuih tradisi perlu kemahiran, harga boleh setanding pastri Barat - Chef Amir Gani
MENARIK DIBACA: Cara buat kuih kasturi 'anti gagal'! Mudah, tak rumit seperti disangka
Berbanding individu tidak minum kopi, mereka yang menikmatinya pada waktu pagi mempunyai risiko kematian akibat semua punca 16 peratus lebih rendah.
Mereka juga mempunyai risiko kematian akibat penyakit jantung dan saluran darah 31 peratus lebih rendah.
Sebaliknya, individu minum kopi sepanjang hari tidak menunjukkan pengurangan risiko kematian sama.

Perkaitan dengan risiko kematian lebih rendah dalam kalangan peminum kopi pagi turut dilihat bagi mereka yang minum dua hingga tiga cawan atau lebih daripada tiga cawan.
Sementara itu, individu minum secawan kopi atau kurang menunjukkan pengurangan risiko lebih kecil.
Satu teori mencadangkan pengambilan kopi pada lewat hari boleh mengganggu jam biologi tubuh dan mengurangkan penghasilan melatonin yang membantu mengawal tidur.
Keadaan ini berkemungkinan mempengaruhi keradangan dan tekanan darah, tetapi penjelasan tersebut masih belum diuji.
