Pilih susu oat, soya dan badam kerana anggap lebih sihat? Fakta penting ini anda perlu tahu
SUSU yang diperbuat daripada oat, soya dan badam kini semakin popular serta menjadi pilihan terutama dalam kalangan mereka yang mahu mengurangkan pengambilan susu lembu.
Di kafe, pasar raya malah di dalam peti kedai serbaneka, minuman berasaskan tumbuhan ini semakin mudah ditemui.
Sesetengah individu menganggap minuman ini lebih sihat berbanding susu lembu serta ada juga yang percaya ia sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah alahan.
Tetapi, adakah semua tanggapan atau kepercayaan itu benar? Tidak semestinya.
Berdasarkan semakan fakta oleh pakar pemakanan, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum seseorang membuat keputusan untuk menggantikan susu lembu dengan minuman berasaskan tumbuhan.

1. Minuman berasaskan tumbuhan lebih sihat daripada susu lembu?
Jawapan: Tidak benar.
Susu lembu secara semula jadi mengandungi protein yang mudah diserap oleh badan untuk membantu membina dan mengekalkan otot.
Selain itu, susu juga membekalkan kalsium yang penting untuk kesihatan tulang, selain beberapa vitamin dan iodin.
Berbeza dengan susu lembu, minuman seperti oat, soya dan badam biasanya tidak mempunyai nutrien tersebut dalam jumlah yang tinggi secara semula jadi.
Nutrien seperti kalsium dan vitamin hanya terdapat dalam jumlah yang lebih bermakna jika minuman itu sudah diperkaya.
Jadi, jika mahu mengurangkan atau berhenti mengambil produk tenusu, pengguna perlu melihat label pemakanan pada kotak minuman tersebut.
Ini penting bagi memastikan tubuh masih mendapat nutrien yang diperlukan.
2. Susu tumbuhan organik boleh menggantikan nutrien susu lembu?
Jawapan: Tidak semestinya.
Ramai menganggap sesuatu yang berlabel organik secara automatik lebih sihat.
Hakikatnya, produk organik tidak semestinya mempunyai lebih banyak nutrien.
Malah, minuman berasaskan tumbuhan organik mungkin tidak mengandungi nutrien penting seperti kalsium, vitamin dan iodin kerana sesetengah peraturan mengehadkan penambahan vitamin dan mineral ke dalam produk organik.
Ada pengeluar yang menggunakan bahan lain, contohnya rumpai laut yang kaya dengan kalsium, bagi menghasilkan minuman yang mempunyai nutrien tambahan.
Bagaimanapun, kaedah sebegini masih mempunyai isu dari segi peraturan.

3. Minuman berasaskan tumbuhan lebih sesuai untuk mereka yang ada alahan?
Jawapan: Kebanyakannya tidak benar.
Memang ada individu yang tidak boleh mengambil susu lembu kerana alahan protein susu atau mengalami masalah tidak boleh menghadam laktosa.
Sebab itu, mereka mungkin memilih minuman berasaskan tumbuhan tetapi, bukan semua minuman jenis ini selamat untuk individu yang mempunyai alahan.
Bahan seperti soya, kekacang, oat atau lupin sendiri boleh menyebabkan alahan kepada sesetengah individu.
Malah, label pada pembungkusan juga perlu diberi perhatian.
Ada produk yang menyatakan ia mungkin mengandungi kesan atau traces bahan tertentu. Ini bermakna produk berkenaan mungkin tercemar secara tidak sengaja ketika proses pengeluaran.
Jadi, individu yang mempunyai alahan perlu membaca label dengan teliti dan tidak menganggap semua minuman berasaskan tumbuhan bebas daripada alergen.
4. Kanak-kanak wajib minum susu lembu untuk membesar?
Jawapan: Sebahagiannya benar.
Kanak-kanak memerlukan nutrien penting seperti kalsium, iodin, vitamin B2, vitamin B12 dan protein untuk tumbesaran.
Masalahnya, minuman berasaskan tumbuhan secara semula jadi biasanya tidak mempunyai nutrien tersebut dalam jumlah yang sama seperti susu lembu.
Sebab itu, pakar menyifatkan minuman berasaskan tumbuhan sebagai bukan pengganti yang setara dengan susu lembu, khususnya bagi kanak-kanak.
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud semua kanak-kanak wajib minum susu lembu.
Bagi ibu bapa yang memilih untuk mengelakkan produk tenusu, mereka disarankan mendapatkan nasihat pakar pemakanan supaya anak tetap mendapat semua nutrien yang diperlukan.
Kajian mengenai kesan jangka panjang pengambilan minuman berasaskan tumbuhan terhadap tumbesaran kanak-kanak juga masih terhad.

5. Minuman berasaskan tumbuhan lebih baik untuk alam sekitar?
Jawapan: Secara umumnya ya.
Ini antara dakwaan yang mempunyai asas yang kuat.
Penghasilan susu lembu mempunyai kesan yang lebih besar terhadap alam sekitar berbanding kebanyakan minuman berasaskan tumbuhan.
Ia menghasilkan lebih banyak pelepasan gas rumah hijau, menggunakan lebih banyak tanah dan memerlukan lebih banyak air.
Bagaimanapun, bukan semua minuman berasaskan tumbuhan mempunyai kesan yang sama.
Contohnya, susu badam menggunakan lebih sedikit tanah dan menghasilkan pelepasan yang lebih rendah berbanding susu soya.
Tetapi, tanaman badam boleh menggunakan lebih banyak air.
Jadi, jika dilihat dari sudut alam sekitar, tiada satu jenis minuman tumbuhan yang boleh dianggap sebagai 'pemenang' dalam semua aspek.
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
MENARIK DIBACA: Kuih apam bakar ada rasa pisang dan rempah, sajian tradisional unik dari Kelantan
6. Betulkah hanya haiwan menghasilkan susu dan keju?
Jawapan: Ya tetapi ada pengecualian.
Dalam peraturan makanan Eropah, istilah seperti susu, krim dan keju secara rasmi merujuk kepada produk yang berasal daripada haiwan mamalia seperti lembu, kambing, biri-biri atau kerbau.
Sebab itu, istilah seperti 'oat milk', 'almond milk' atau 'soy cream' sebenarnya bukan istilah yang dibenarkan di bawah peraturan tersebut.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian untuk istilah yang sudah lama digunakan, termasuk 'coconut milk', 'cocoa butter' dan 'peanut butter'.
Kesimpulannya, minuman berasaskan tumbuhan bukan semestinya lebih sihat daripada susu lembu.
Pilihan terbaik bergantung kepada keperluan setiap individu.
Jika memilih susu oat, soya atau badam, pengguna disarankan melihat kandungan nutrien pada label terutama jumlah protein, kalsium, vitamin dan iodin.
Bagi mereka yang mempunyai alahan atau mahu memberikan minuman ini kepada kanak-kanak, nasihat pakar pemakanan juga penting.
Dalam masa sama, jika faktor alam sekitar menjadi keutamaan, minuman berasaskan tumbuhan secara umumnya mempunyai kesan yang lebih rendah terhadap alam sekitar berbanding susu lembu.
Pendek kata, jangan hanya tengok label ‘plant-based’ atau ‘organik’ dan terus anggap ia lebih sihat.
Yang penting ialah memahami kandungan dan memilih berdasarkan keperluan tubuh masing-masing.