Populariti pistachio melonjak, sejauh mana kacang ini baik untuk kesihatan?
CROISSANT berintikan pistachio, begitu juga kek, ais krim sehinggalah coklat, kacang ini dilihat mampu menaikkan nilai dan identiti sesuatu makanan.
Di sebalik popularitinya, ramai juga tertanya-tanya sama ada pistachio benar-benar memberi manfaat kesihatan atau sekadar jadi fenomena bermusim.
Menurut pakar pemakanan, pistachio tergolong dalam kumpulan snek sihat kerana kaya dengan serat, protein, lemak baik serta pelbagai nutrien penting yang menyokong kesihatan tubuh.
Dalam satu hidangan dengan kira-kira 30 gram (g) atau segenggam kecil pistachio, terdapat sekitar 3g serat, 6g protein dan 13g lemak yang majoritinya terdiri daripada lemak tidak tepu.

Kandungan serat dalam pistachio membantu melancarkan sistem pencernaan selain menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus.
Gabungan serat dan protein juga membantu memberikan rasa kenyang lebih lama serta memperlahankan penyerapan gula ke dalam darah, sekali gus membantu mengekalkan tahap tenaga yang lebih stabil.
MENARIK DIBACA: Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
MENARIK DIBACA: Wanita mengaku malas masak, cuma beri anak bijirin! Lebih jaga perut sendiri dan suami - "Sedihnya ada mak macam tu"
Walaupun mengandungi lemak agak tinggi, kebanyakan lemak dalam pistachio adalah lemak tidak tepu yang baik untuk kesihatan jantung.
Dari segi kalori pula, satu hidangan pistachio mengandungi kira-kira 160 kalori dan kandungan protein serta serat tinggi menjadikannya lebih mengenyangkan berbanding kebanyakan snek diproses.
Malah, beberapa kajian jangka panjang mendapati pengambilan kacang secara sederhana dan konsisten tidak semestinya menyebabkan pertambahan berat badan.

Selain itu, pistachio turut membekalkan pelbagai nutrien penting seperti kalium, magnesium, fosforus, vitamin B6 dan vitamin E.
Bagaimanapun manfaat kesihatan itu tidak semestinya diperoleh daripada semua produk berasaskan pistachio yang kini banyak dijual di pasaran.
Banyak produk viral seperti krim pistachio, coklat berinti pistachio atau pencuci mulut berperisa pistachio sebenarnya mengandungi kandungan gula dan lemak tepu tinggi.
Dalam keadaan ini, pistachio hanya digunakan sebagai perasa atau bahan tambahan, bukannya komponen utama menyumbang kepada manfaat pemakanan.