Nasihat pemakanan untuk individu sedang 'sesak' - "Ajar diri makan makanan sebenar"
APABILA poket makin ‘kering’, ramai cenderung memilih makanan segera sebagai penyelesaian mudah namun sebenarnya masih ada pilihan lebih sihat dan murah.
Seorang wanita di laman Threads menasihatkan orang ramai agar tidak membiasakan diri dengan makanan segera atau makanan diproses ketika berdepan kesempitan kewangan.
Sebaliknya, dia menggalakkan pengambilan real food yang lebih murah dan berkhasiat seperti nasi putih bersama telur dan sayur ringkas.
"Kalau sempit kewangan, jangan ajar diri makan mi segera atau makanan proses. Ajar diri makan makanan sebenar yang murah-murah.
"Nasi putih, telur goreng dan timun potong pun cukup. Telur tu superfood," kongsinya.
Menurutnya lagi, cara memasak juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan.

"Goreng jangan guna minyak banyak. Rebus lagi okay dan kalau ada stok ulam atau sambal lagi sedap. Tak mahal pun boleh buat sendiri.
"Dah sempit kewangan, jangan biarkan diri kita 'sempit' dalam kesihatan pula," ujarnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi pengalaman hidup mereka mengenai amalan pemakanan ketika melalui fasa sukar.
Seorang pengguna mengakui sudah lebih tujuh bulan menganggur dan terpaksa berjimat dengan bahan asas.
MENARIK DIBACA: Gulai ikan Kedah dipuji sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masak
MENARIK DIBACA: Wanita buat bolognese letak budu ganti sos worcestershire, Kelantan 'mendonia' - "Sedap sampai langit"
"Saya penganggur sudah lebih tujuh bulan dan kebanyakannya hidup seorang diri di rumah. Kakak pula balik lewat, duit yang ada untuk survive sendiri memang tidak banyak.
"Makanan utama saya ialah telur, tomato, tempe, terung, enoki, kentang dan bawang. Saya memang banyak bereksperimen dengan pelbagai jenis masakan.
"Jika ada duit lebih, saya akan tambah dua hingga tiga jenis sos dari Eco untuk dimakan bersama telur rebus. Setiap bulan, saya akan 'top up' satu jenis kicap, sos atau pes kering supaya boleh terus bereksperimen dengan makanan. Ini supaya saya tidak muak makan telur walaupun berbulan-bulan," kongsinya.

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat pilihan makanan bergantung kepada gaya hidup dan keadaan individu.
"Ia bergantung kepada individu. Walaupun saya stabil dari segi kewangan, saya memang 'tekak kampung' dan tidak berniat untuk berjimat. Ada orang yang berpendapatan lebih rendah pula lebih suka makanan diproses kerana tidak ada masa atau tidak pandai memasak makanan sebenar seperti nasi berlauk. Apa pun menu yang awak sebutkan itu memang menu harian saya dan kos bahan pun sangat mesra poket lebih kurang RM100 seminggu sahaja.
"Saya buat macam ini sebab penat balik kerja. Nasi + telur rebus + kicap dan sos + lobak merah. Kalau jemu, boleh buat telur goreng dan letak perencah tomyam atau kari tanpa minyak. Kalau nak pedas, tambah cili atau sambal belacan boleh juga bantu turun berat badan.
"Yang penting, kita cuba yang terbaik mengikut situasi masing-masing. Kalau mampu pilih real food itu bagus. Kalau tidak langkah kecil pun sudah mencukupi. Makanan ringkas dan sebenar sudah cukup tidak perlu mewah asalkan berkhasiat," antara komen netizen.