Tanda lipas bersarang di dapur boleh dikesan melalui bau, apa yang berlaku amat jijik
TIBA-tiba hidung menangkap satu bau yang cukup pelik dan kurang menyenangkan apabila masuk ke dapur.
Kadang-kadang bau yang sama turut dihidu apabila pintu kabinet dibuka.
Ia adalah bau hapak bercampur minyak, seakan-akan lembap tetapi tidak terlalu busuk namun menusuk ke rongga hidung hingga membuatkan kita rasa tidak selesa.
Walaupun lantai sudah dimop dan sampah telah dibuang, bau tersebut masih melekat di ruang dapur.
Ternyata ia bukan bau kepam dapur, sebaliknya berkemungkinan besar adalah bau lipas yang sedang 'berumah' tanpa disedari.

Menurut Public Health Malaysia, bau hapak berminyak itu sebenarnya melambangkan kewujudan lipas yang boleh dihidu lebih awal sebelum kita ternampak kelibat serangga tersebut.
MENARIK DIBACA: Tak sangka santan boleh jadi syampu... Bantu lebatkan rambut, atasi masalah gugur
MENARIK DIBACA: Kesilapan biasa simpan santan kotak selepas dibuka, ada cara elak ia cepat masam
Bau itu bukan sekadar perasaan, sebaliknya berpunca daripada beberapa faktor yang menjijikkan.
Antaranya termasuklah najis dan air kencing lipas, selain rembesan bahan kimia atau feromon pada badan serangga itu yang berfungsi untuk ‘memanggil’ lipas lain berkumpul di sesuatu kawasan.

Bukan itu sahaja, bau tersebut turut datang daripada kulit lipas yang tertanggal ketika proses bersalin kulit (moulting), selain bangkai lipas yang mereput di celahan gelap seperti belakang kabinet atau bawah singki.
Lebih membimbangkan, semakin banyak lipas berkumpul, semakin kuat bau feromon yang melekat pada permukaan seperti kayu kabinet, belakang peti sejuk dan kawasan lembap lain dalam rumah.
Dari sudut kesihatan awam, bau lipas sebenarnya adalah alergen yang kuat.
Jika dihidu secara berterusan, ia boleh mencetuskan masalah seperti gatal-gatal, resdung dan serangan asma, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Jadi, jangan anggap rumah anda bebas lipas sebab tidak nampak kelibatnya.
Selalunya, jika terdapat seekor lipas kelihatan ia menandakan ada banyak lagi sedang bersembunyi di sebalik dinding.