Perah lemon dan letak garam bantu nasi tahan lama, tak cepat basi
MEMANG kecewa apabila nasi yang dimasak pada waktu pagi mula berair, berbau masam atau basi menjelang malam.
Lebih-lebih lagi apabila baki nasi masih banyak, sekali gus membuatkan kita berasa berlaku pembaziran.
Bagi mengelakkan berlakunya situasi ini, ada petua yang dikatakan membantu nasi tahan lebih lama, iaitu dengan menambahkan beberapa titis jus lemon atau cuka ketika menyukat air beras.

Berikut merupakan petua seperti yang dikongsikan Kak Wani.Tips Dapur Jimat Masa di TikTok.
- Sebelum memasak nasi, basuh beras seperti biasa
- Kemudian, titiskan sedikit jus lemon atau cuka ke dalam air beras bersama secubit garam sebelum nasi dimasak seperti biasa.
- Menurut petua yang dikongsikan, perahan jus lemon dan garam tidak akan menyebabkan nasi terasa masam atau masin.
- Hasilnya, nasi yang dimasak bukan sahaja cantik dan berderai, malah tahan lebih lama sehingga dua hari.
Kandungan asid sitrik dalam jus lemon akan menurunkan tahap pH nasi dan secara tidak langsung menghalang pembiakan bakteria seperti Bacillus cereus yang menyebabkan nasi basi.
MENARIK DIBACA: Penjual nasi lemak kedekut, hanya 'berlakon' cedok lebih hakikatnya cuma beberapa butir
MENARIK DIBACA: Teruja jumpa nasi lemak bungkus 'ikat penuh', rupanya orang dulu-dulu dah lama buat!
Selain itu, asid daripada lemon turut membantu memecah lebihan kanji pada permukaan beras dan membuatkan butiran nasi menjadi lebih berderai serta kelihatan lebih putih.
Cara menyimpan nasi selepas dimasak juga memainkan peranan penting dalam memastikan nasi tidak cepat rosak.
Nasi yang dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama boleh menjadi tempat pembiakan selepas dimasak dan menghasilkan toksin dalam keadaan tertentu.

Oleh itu, nasi yang telah dimasak sebaik-baiknya tidak dibiarkan pada suhu bilik melebihi dua jam.
Bagaimanapun, jika suhu persekitaran melebihi 32 darjah Celsius, tempoh nasi yang patut dibiarkan pada suhu bilik menjadi lebih singkat iaitu satu jam.
Nasi yang disimpan di dalam peti sejuk pada suhu 4 darjah Celsius atau lebih rendah lazimnya boleh bertahan selama tiga hingga empat hari, tetapi perlu dipanaskan semula dengan sempurna sebelum dimakan.