Restoran Jepun ambil pesakit demensia jadi pelayan, pelanggan kena banyak bersabar
JEPUN terkenal dengan budaya memberi layanan terbaik kepada pelanggan apabila mementingkan servis dan kepuasan pengunjung terutama dalam industri makanan.
Sebuah restoran di negara itu tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi peluang kepada warga emas yang juga penghidap demensia untuk bekerja sebagai pelayan.
Menurut laporan media, restoran ini dikenali sebagai 'Restaurant of Mistaken Orders' atau 'Chumon wo Machigaeru Kamoshirenai Ryori-ten' dalam bahasa Jepun.
Nama ini membawa maksud pihak restoran mungkin tersalah menerima pesanan, bersesuaian dengan konsepnya yang mengetengahkan warga emas berdepan masalah mengingati pesanan atau menghantar hidangan tidak menepati permintaan pelanggan.

Diperkenalkan pada 2018, restoran ini beroperasi secara sementara, kerjasama dengan premis makanan sedia ada bagi menyediakan hidangan unik setiap hari.
Antara kerjasama terbaharu restoran ini adalah dengan restoran Tenryu Ramen, di bandar Matsuyama, pada 21 September 2026.
Tarikh ini dipilih bersempena Hari Penghormatan Warga Emas di Jepun dan Hari Alzheimer Sedunia.
MENARIK DIBACA: "Saya tak ada duit tapi rajin dan nak cantik" - 'Effort' wanita ini buat jus retinol untuk kurus, lawa jadi perhatian
MENARIK DIBACA: Cara buat kuih kasturi 'anti gagal'! Mudah, tak rumit seperti disangka
Menerusi jalinan kerjasama ini, empat warga emas berusia antara 78 tahun hingga 88 tahun diberi tugas menerima pesanan serta melayan pelanggan yang datang menikmati ramen sambil merasai pengalaman menjamu selera dengan konsep berbeza.
Antara tanda pesakit demensia termasuklah mudah lupa, keliru masa dan tempat, sukar mengenali orang, sukar bercakap, perubahan emosi, sukar buat keputusan serta hilang keupayaan melakukan rutin.
Di sebalik konsep unik, restoran ini membawa misi lebih besar dengan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai demensia serta mengubah tanggapan terhadap individu yang menghidap penyakit tersebut.
Penganjur mahu menunjukkan bahawa demensia tidak semestinya menghalang seseorang daripada terus melakukan aktiviti harian dan berinteraksi dengan orang lain mengikut kemampuan masing-masing.
Peluang ini turut membantu warga emas membina keyakinan diri serta merasai kepuasan apabila dapat melakukan sesuatu yang bermakna.
