Bil hampir RM6,000 belum bayar, pelanggan tinggalkan restoran gara-gara staf lembab
SELEPAS selesai menjamu selera, biasanya pelanggan akan meminta bil sebelum membuat pembayaran.
Bagaimanapun lain pula kisah seorang pelanggan di sebuah restoran apabila dia mendakwa terpaksa meninggalkan premis tanpa membayar bil berjumlah kira-kira RM5,900.
Kisah ini dikongsikan pelanggan tersebut di media sosial selepas menikmati makan malam bersama anak-anaknya di sebuah restoran di Pisa, Itali.
Menurutnya, pengalaman menjamu selera di restoran berkenaan kurang menyenangkan apabila layanan diterima daripada pekerja didakwa tidak mesra.

Dia mendakwa beberapa pekerja restoran lebih banyak menghabiskan masa berbual dan merokok berbanding memberikan perhatian kepada pelanggan.
Keadaan ini menyebabkan dia berasa seolah-olah tidak dilayan dengan baik sepanjang berada di restoran itu.
"Saya meminta bil dan salah seorang daripada mereka memandang tepat ke arah saya sebelum kembali berbual dengan pelayan lain," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Tidak berpuas hati, pelanggan berkenaan mendakwa sekali lagi menghampiri pekerja restoran untuk mendapatkan bil.
Dia kemudian disuruh kembali ke meja dan menunggu pelayan lain menghantarkan bil yang diminta.
MENARIK DIBACA: Ketahui sejarah, keistimewaan piza Neapolitan! Dulu makanan orang miskin, kini bertaraf dunia
MENARIK DIBACA: Piza kaviar harga lebih RM200 sepotong, dibuat guna doh Itali usia 60 tahun
Selepas menunggu kira-kira 30 minit, bil diminta masih tidak kunjung tiba.
Pelanggan ini akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan restoran bersama anak-anaknya tanpa membuat bayaran.
Menurutnya, jumlah bil makanan tersebut adalah sekitar RM5,900.
Dia pada awalnya bimbang akan berdepan masalah kerana meninggalkan restoran tanpa melunaskan bayaran, tetapi mendakwa tiada seorang pun pekerja cuba menghalangnya atau mendapatkan bayaran.
Perkongsian ini kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna.
Ada yang berkongsi pengalaman hampir sama apabila mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bil walaupun sudah beberapa kali memintanya daripada kakitangan restoran.