info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Momen

Pengunjung Kopi Ber-Kuali-Ti terpesona! Cef Fazley lincah 'main' manisan, juara kopi dunia tunjuk 'skill'

Lead Image

BAZAR Kopi Ber-Kuali-Ti yang dianjurkan bersempena Hari Kopi Antarabangsa 2026 meriah apabila peminat kopi dan pencinta makanan tak putus-putus berkunjung ke acara itu yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya pada Khamis.

Tidak hanya tertumpu kepada kopi, program bazar jualan ini turut mengetengahkan aneka makanan, minuman dan manisan 'trending' serta buah-buahan segar selain pelbagai aktiviti santai yang melengkapkan pengalaman pengunjung.

Paling istimewa Kopi Ber-Kuali-Ti diserikan dengan penampilan artis dan selebriti popular tanah air iaitu cef Datuk Fazley Yaakob, Ara Johari dan juara World Brewers Cup 2026, Nas Jaafar.

Bazar Kopi ber-Kuali-ti anjuran portal Kuali bersama StarTrack diadakan bersempena Hari Kopi Antarabangsa 2026.

Rata-rata pengunjung yang terdiri daripada orang awam, warga kerja SMG dan peminat kopi bukan saja sibuk meninjau setiap 'booth' jualan, tetapi juga dapat bersantai melalui acara ini.

Kolaborasi Kuali - PKPS

Program edisi sulung anjuran Kuali, portal makanan dan gaya hidup di bawah Star Media Group (SMG) Berhad ini lebih bermakna apabila mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku rakan penaja strategik yang turut menyumbang kepada kemeriahan acara menerusi jualan produk. 

Jus dan buah-buahan segar di booth SFV.

Mengangkat tema 'Dimaniskan oleh PKPS', kolaborasi ini memberikan nilai tambah kepada pengalaman pengunjung di samping memperkukuh hubungan antara jenama, komuniti dan dunia makanan melalui satu platform.

Anak syarikat PKPS, iaitu PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd dan projek agropelancongannya, Selangor Fruit Valley (SFV) turut mengambil bahagian dengan membuka reruai bagi memperkenalkan serta menawarkan produk keluaran masing-masing.

Demonstrasi manisan oleh wakil Ehsan.

Antara barangan Ehsan yang laris dijual adalah nuget, popia 'frozen', santan, minuman Choco Malt, pastri dan lain-lain lagi.

Eksklusif untuk program ini, santan keluaran Ehsan digunakan dalam penyediaan minuman istimewa Black Sora Iced Latte.

Minuman kopi latte eksklusif menggunakan santan keluaran Ehsan.

Pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi cara membuat kek batik istimewa menggunakan biskut jagung keluaran Ehsan.

Selain itu, jus dan buah-buahan segar dari ladang SFV juga mempunyai ramai peminat.

Cef selebriti, juara dunia kopi hangatkan suasana

Program Kopi Ber-Kuali-Ti tentunya tidak lengkap tanpa hiburan, justeru cef selebriti Fazley Yaakob dijemput bagi memeriahkan program ini.

Sebagai gimik, beliau berkarya dengan menghasilkan seni manisan ‘sweet table’ yang menjadi acara kemuncak Kopi Ber-Kuali-Ti sambil disaksikan pengunjung dan tetamu VIP.

Cef Fazley ketika melakukan gimik 'sweet table'.

Tetamu VIP yang hadir terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG) Chan Seng Fatt, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan SMG Datin Paduka Esther Ng Sek Yee.

Nas Jaafar menunjukkan kemahirannya membuat kopi.

Program bertambah meriah apabila Nas Jaafar tampil berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai dunia kopi menerusi sesi ‘Barista Talk’.

MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!

Menerusi sesi ini, Nas berkongsi pelbagai perkara berkaitan kopi termasuklah menunjukkan kemahirannya menyediakan kopi 'slow brew' yang mungkin selama ini kurang diketahui masyarakat dan peminat kopi.

Selain perkongsian mengenai kopi, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi Ara Johari yang menggamatkan suasana.

Ara Johari menghangatkan suasana.

Ara turut berkongsi cerita dan pengalamannya tentang kopi.

Kopi menyatukan komuniti

Editor Kuali, Izra Rahman berkata idea untuk menganjurkan program ini tercetus apabila kopi kini dilihat bukan sekadar minuman tetapi menjadi sebahagian daripada budaya dan gaya hidup yang menyatukan masyarakat di seluruh dunia.

Aneka minuman dan makanan 'trending' menarik minat pengunjung.

"Menerusi Kopi Ber-Kuali-Ti, kami mahu membawa semangat Lebih Daripada Resipi yang menjadi 'tagline' Kuali dengan mewujudkan ruang untuk komuniti berkumpul, berkongsi pengalaman dan meneroka kepelbagaian dunia kopi serta makanan dalam suasana santai dan menyeronokkan.

"Kerjasama bersama PKPS juga memberikan dimensi yang lebih bermakna kepada program ini, khususnya dalam memperkenalkan produk makanan berkualiti hasil keluaran negeri Selangor kepada pengunjung," katanya.

Nuget keluaran Ehsan turut mendapat sambutan pengunjung.

Dalam pada itu, katanya, penganjuran program ini diharapkan dapat terus mengukuhkan kedudukan Kuali sebagai portal makanan dan gaya hidup selepas ia melalui proses penjenamaan semula dari Bahasa Inggeris  kepada kandungan bahasa Melayu sejak tahun lalu.

"Perubahan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kuali untuk tampil lebih dekat dengan pembaca dan komuniti tempatan, sambil terus menyajikan kandungan makanan dan gaya hidup yang relevan, segar dan menarik.

Pengunjung gembira menerima produk Gardenia.

Selain PKPS, Gardenia Bakeries KL turut menyokong program ini dengan menaja produk mereka, Gardenia Squiggles Choco Malto dan Gardenia Original Classic Supreme kepada pengunjung.

Makanan, minuman 'trending'

Bazar ini menyaksikan 26 vendor terpilih menjual produk masing-masing yang terdiri daripada aneka kopi, teh, matcha, bagel, nachos, pastri, kukis dan bermacam makanan lain.

Rata-rata produk yang dijual lebih dekat dengan generasi masa kini yang gemarkan makanan viral dan mengikut 'trend'.

Bagel antara makanan 'laku keras' di bazar ini.

Antara vendor yang mengambil bahagian termasuklah Oriental Kopi, Inside Scoop, Kupi Ging, Coma, Grill Haven, Wonder Milk, Taco Escobar, When Lala Bakes dan banyak lagi.

Pekarangan Menara Star meriah sepanjang berlangsungnya acara Kopi Ber-Kuali-Ti.

Bukan itu sahaja, tetamu turut mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti menarik seperti Kuali Quiz and Merch, Blind Box Redemption serta sesi fotografi di photobooth.

Pelbagai hadiah dan cenderamata eksklusif yang disediakan turut menjadi antara tarikan kepada pengunjung yang menyertai aktiviti berkenaan.

Turut menjayakan penganjuran Kopi Ber-Kuali-Ti adalah 'StarTrack' iaitu kumpulan graduan yang menyertai program pelatih pengurusan siswazah di bawah SMG.

Hari Kopi Antarabangsa disambut pada 1 Oktober setiap tahun sebagai acara global yang meraikan minuman berkenaan serta kepelbagaian budaya kopi di seluruh dunia.

 

 

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Dunia

Bil hampir RM6,000 belum bayar, pelanggan tinggalkan restoran gara-gara staf lembab

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Viral

Ibu kecewa, dakwa anak dapat ayam rentung dalam program makanan percuma

Terhangat