Keluarga besar sakan bawa bekal naik 'flight', suasana dalam pesawat macam ada kenduri
MEMANG seronok dapat berkumpul sambil menikmati pelbagai jenis makanan bersama ahli keluarga tidak kira di rumah atau lokasi lain.
Sekumpulan keluarga dilihat membawa pelbagai juadah dan berkongsi makanan sesama mereka ketika dalam penerbangan dengan syarikat tambang murah, IndiGo, dalam kejadian di India.
Menerusi rakaman yang tular di media sosial X bertarikh 26 Ogos 2026, keluarga terbabit yang terdiri daripada lebih 10 individu dilihat mengeluarkan pinggan pakai buang sebelum membuka bekalan makanan yang dibawa dari rumah.
Makanan yang dibawa bukan sedikit, termasuklah pelbagai jenis juadah tradisional India termasuk samosa, dhokla, thepla, namkeen serta beberapa jenis makanan ringan.

Makanan tersebut kemudiannya dikongsi sesama ahli keluarga, dengan ada di antara mereka dilihat bangun dari tempat duduk untuk menghulurkan hidangan kepada anggota keluarga lain sambil berbual.
Tindakan kumpulan itu membuatkan kabin pesawat bertukar menjadi ruang makan atau kenduri sebuah keluarga besar, boleh diibaratkan sedang berkelah di ruang udara.
Dalam video berdurasi sekitar 25 saat itu, seorang wanita dalam kumpulan tersebut dilihat mengumpulkan pinggan pakai buang, bekas makanan dan sampah lain ke dalam beg plastik besar selepas selesai makan.
Memetik laporan Times of India, pemilik video turut menjelaskan bahawa keluarga berkenaan membersihkan sendiri kawasan tempat duduk mereka dan tidak melakukan sebarang perkara yang mengganggu perjalanan penerbangan.
MENARIK DIBACA: Tumpahkan kopi di kafe popular Indonesia, layanan staf dipuji - "Malaysia kena banyak belajar"
MENARIK DIBACA: Mudah je buat 'strawberry Brazilian lemonade', minum masa cuaca panas terus segar tekak
Walaupun penjelasan telah diberikan, video berkenaan tetap mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang menganggap tindakan berkongsi makanan bersama keluarga bukanlah satu masalah sekiranya dilakukan dengan tertib, lebih-lebih lagi apabila mereka membersihkan sampah sendiri selepas makan.
Tepai, ada juga yang berpendapat kapal terbang merupakan ruang awam yang dikongsi bersama penumpang lain.

"Menjijikkan, tiada adab langsung.
"Nampaknya mereka tiada kesedaran sivik.
"Mereka nampak angkuh dan tidak menerima teguran," kata beberapa netizen.
Situasi tersebut secara tidak langsung membuka perbincangan mengenai batas antara keselesaan peribadi dan etika ketika menggunakan ruang awam.
Malah ada yang berpandangan tindakan keluarga tersebut tidak melanggar apa-apa kesalahan malah secara umum, penumpang dibenarkan membawa makanan sendiri ke dalam pesawat komersial, tetapi ia tertakluk kepada peraturan keselamatan lapangan terbang dan polisi sesebuah syarikat penerbangan.