15 mi segera terbaik di dunia, dari Malaysia pun masuk 'ranking'
MI segera sememangnya dekat dengan kehidupan manusia di seluruh dunia termasuklah rakyat Malaysia.
Selain mudah disediakan, sedap dan harga yang mesra poket membuatkan makanan ini terus menjadi pilihan ramai.
Bagaimanapun, tidak semua mi segera dicipta mempunyai rasa sama.
Ada jenama yang berjaya memikat selera ramai kerana kuahnya kaya rasa dan tekstur sempurna dan ada juga kurang mendapat sambutan mungkin kerana terlalu masin, hambar atau mi cepat lembik.
Sebelum mencuba mana-mana jenama dalam senarai ini, pengguna Muslim juga perlu ambil perhatian bahawa tidak semua mi segera yang tersenarai mempunyai status halal.
Jadi, pastikan semak label dan pensijilan halal pada setiap produk terlebih dahulu sebelum membelinya.
Menurut senarai Go2Tutors (16/4), berikut ialah 15 jenama mi segera terbaik di dunia.
1. Myojo Chukazanmai Tokyo Shoyu
Menduduki tempat pertama ialah mi segera dari Jepun, Myojo Chukazanmai Tokyo Shoyu.
Mi ini menawarkan kuah jernih dengan rasa shoyu yang digabungkan bersama sentuhan dashi (pati kuah Jepun).
Rempahnya terasa halus dan seimbang manakala tekstur mi nipis, sedikit kerinting masih kekal kenyal walaupun hanya disediakan dengan air panas selama dua minit.
2. Prima Taste Singapore Laksa
Mi segera premium dari Singapura ini menyajikan rasa laksa yang lebih autentik.
Kuah santannya kaya dengan rempah dan tekstur mi tebal serta kenyal memberikan pengalaman makan yang lebih memuaskan.
Gabungan rasa gurih santan dan pedas cili menjadikan setiap suapan lebih berperisa.

3. Nongshim Shin Ramyun Black
Versi hitam daripada Nongshim Shin Ramyun menawarkan rasa yang lebih kuat dan kaya.
Rasa pedasnya muncul secara perlahan tetapi kekal lebih lama di mulut.
Mi ini juga mempunyai rasa premium seperti hidangan di restoran, dengan tekstur kenyal dan perencah yang lebih seimbang.
4. Nissin Demae Ramen (Tonkotsu)
Varian Tonkotsu daripada Nissin Demae Ramen menawarkan pengalaman rasa yang lebih mantap berbanding kebanyakan mi segera biasa.
Kuahnya lebih pekat dan kaya dengan rasa rebusan tulang (sumber tak halal) yang dimasak sempurna.
Jika ditambah hirisan daun bawang dan telur rebus, hidangan ini mampu memberikan rasa seperti ramen di restoran.
5. Nongshim Shin Ramyun
Nongshim Shin Ramyun merupakan antara mi segera Korea yang sangat digemari.
Ia terkenal dengan kuah rebusan daging yang gurih, kaya dan mempunyai rasa mendalam.
Sensasi pedasnya kuat tetapi masih selesa dinikmati manakala tekstur mi kekal kenyal walaupun dimasak beberapa minit.
6. MyKuali Penang White Curry
Bagi yang mencari rasa unik, MyKuali Penang White Curry antara pilihan menarik.
Mi segera ini menawarkan kuah kari putih yang kaya dengan rasa santan dan gabungan rempah menghasilkan rasa kompleks serta sensasi pedas menyengat.
7. Indomie Mi Goreng
Indomie merupakan salah satu jenama mi segera paling popular dari Indonesia dan turut mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.
Varian mi goreng menjadi pilihan ramai kerana ia disediakan tanpa kuah selepas direbus.
Mi ini kemudian dicampur dengan gabungan kicap manis, minyak berempah, sos sambal dan taburan bawang goreng yang menghasilkan rasa manis dan masin seimbang.
Varian ini mula dilancarkan pada tahun 1982 dan telah dieksport ke pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat serta Timur Tengah.
MENARIK DIBACA: Bosan pisang goreng warna keemasan? Ini cara sediakan bancuhan tepung versi biru
MENARIK DIBACA: Nelayan kongsi punca ikan pari bau hancing, netizen beri petua elak pembaziran
8. Samyang Buldak Carbonara
Walaupun sangat popular, Samyang Buldak Carbonara berada di kedudukan kelapan dalam senarai ini.
Ia terkenal dengan gabungan rasa sos creamy, aroma smokey dan rasa pedas yang menjadi ciri khas Buldak.
Tekstur mi tebal dan kenyal juga menjadi antara sebab ia mempunyai ramai peminat.
9. Ottogi Jin Ramen
Ottogi Jin Ramen ialah mi segera berkuah popular dari Korea Selatan.
Varian 'mild' atau tidak pedas menjadi pilihan ramai kerana kuahnya mempunyai rasa umami yang seimbang, sedikit rasa manis dan tahap pedas tidak terlalu kuat.
10. Mama Tom Yum
Jenama mi segera dari Thailand ini terkenal dengan varian tomyam.
Kuahnya menampilkan rasa serai, limau nipis dan cili tanpa rasa terlalu buatan. Tekstur mi pula nipis dengan sedikit rasa kenyal.
Rasanya dianggap lebih segar dan aromatik berbanding beberapa pilihan mi segera dari Korea atau Jepun.
11. Paldo Bibim Men
Mi segera dari Korea Selatan ini terkenal dengan sos manis pedas yang unik.
Berbeza daripada kebanyakan mi segera, Paldo Bibim Men biasanya dinikmati dalam keadaan sejuk.
Sosnya menggabungkan rasa manis, pedas dan sedikit masam yang membuatkan ramai ketagih.

12. Nissin Cup Noodles (Original Chicken)
Nissin Cup Noodles merupakan antara jenama mi segera paling dikenali di dunia.
Bagi varian Original Chicken, ia menawarkan rasa kuah masin yang ringkas dengan tekstur mi lembut yang menjadi ciri khasnya.
13. Sapporo Ichiban Original
Sapporo Ichiban dianggap sebagai antara mi segera yang mula menunjukkan peningkatan dari segi kualiti.
Kuahnya mempunyai rasa kaya berasaskan shoyu atau kicap masin dengan sedikit rasa manis.
Tekstur mi pula agak kenyal dan tidak mudah lembik apabila disediakan dengan air panas.
14. Top Ramen Chicken
Top Ramen Chicken dikenali kerana mampu mengimbau nostalgia, selain harganya murah dan rasanya agak memuaskan.
Rempahnya lebih dominan dengan rasa masin serta sedikit rasa ayam di hujung lidah.
Tekstur mi pula dikatakan lebih baik berbanding mi cawan Maruchan.
Jika ditambah telur rebus separuh masak dan hirisan daun bawang, rasanya dikatakan lebih enak.
15. Maruchan Instant Lunch Cup
Berada di kedudukan terakhir ialah Maruchan Instant Lunch Cup.
Mi segera versi cawan ini dikatakan cepat menjadi lembik dalam masa beberapa minit.
Kuahnya juga dianggap terlalu cair dan hanya mempunyai rasa masin.