Uniknya aiskrim kicap masin! Ini 6 makanan pelik dunia, orang tempatan kata 'sedap'
SETIAP negara memiliki keunikan tersendiri, bukan sahaja dari segi budaya tetapi juga makanan.
Banyak makanan dari seluruh dunia mungkin kelihatan pelik bagi kita, lebih-lebih lagi kerana dihasilkan dengan kombinasi makanan yang dianggap tidak sepadan.
Hakikatnya, makanan dianggap pelik itu sebenarnya menjadi menu 'kebanggaan' bagi sesebuah negara, malah rasanya dikatakan sangat enak!
Bagi meraikan kepelbagaian makanan, Kuali kongsikan enam kombinasi makanan pelik tetapi popular di seluruh dunia.

1. Aiskrim + kicap masin (Jepun)
Pencuci mulut berupa aiskrim dan kicap masin dikenali sebagai 'shoyu aisu' ini tidak asing lagi di Jepun.
Hidangan istimewa ini mempunyai rasa manis dan masin seakan-akan 'salted caramel' dengan aroma serta umami yang kuat.
'Shoyu aisu' banyak ditemui di kawasan yang terkenal dengan pengeluaran kicap seperti di Pulau Shodoshima.

2. Pisang + mayonis (Amerika Syarikat)
Hidangan yang dinamakan sebagai Southern Banana Sandwich ini sangat popular di wilayah selatan Amerika Syarikat.
Kombinasi ini menjadi popular semasa era Great Depression iaitu antara tahun 1930-an hingga 1940-an kerana murah, berkhasiat dan mudah disediakan.
Ia terdiri daripada hirisan pisang yang diletakkan di atas roti putih, disapu dengan mayonis.

3. Pasta + yogurt (Turkiye)
Di Turkiye, makanan ini dikenali sebagai 'manti' atau 'yalanci manti'.
Hidangan ini biasanya dimakan bersama daging cincang dan paprika.
MENARIK DIBACA: Kalau suka makan manis penyayang orangnya, ini 6 kategori makanan ‘cermin’ personaliti anda
MENARIK DIBACA: Burger nyamuk makanan mewah di Afrika, 7 kali ganda lebih banyak protein

4. Coklat + minyak zaitun (Itali)
Hidangan pencuci mulut ini dikenali sebagai Torta di Cioccolato All Olio Di Oliva atau kek coklat minyak zaitun.
Pencuci mulut istimewa ini kaya dengan coklat gelap dan menggunakan ekstrak minyak zaitun menggantikan mentega untuk memberikan tekstur yang sangat lembut.

5. Keju + kopi (Finland, Sweden)
Merupakan sejenis minuman yang dikenali sebagai Kaffeost, iaitu kopi keju.
Di Finland, minuman ini telah menjadi tradisi apabila potongan keju dimasukkan ke dalam secawan kopi panas.
Kaffeost selalunya disajikan ketika musim sejuk atau dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumah.

6. Nasi + pisang + gula (Brazil)
Merupakan sajian sarapan pagi popular di Brazil dikenali sebagai Arroz com Banana atau nasi pisang.
Pisang akan digoreng terlebih dahulu dengan gula sebelum dicampur dengan nasi panas.