Cari segera 2 minuman ini jika seseorang terkena strok haba
CUACA panas melampau yang sedang melanda seluruh negara sekarang sangat memberi kesan apabila masing-masing mengeluh dan risau terkena strok haba.
Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian membabitkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata, dalam cuaca panas melampau ketika ini orang ramai perlu lebih peka, termasuk mengawasi tanda awal strok haba.

Antaranya pening berpanjangan, rasa dahaga luar biasa dan suhu badan yang semakin meningkat.
Sementara itu, seorang pengguna Threads dalam satu hantarannya berkongsi langkah pantas yang perlu diambil ketika seseorang itu mengalami gejala strok haba seperti yang pernah dimaklumkan oleh petugas kesihatan kepadanya.
Kongsinya, selain kehilangan air tubuh sebenarnya turut kehilangan garam dan memerlukan langkah pantas dengan menggunakan air kelapa dicampur sedikit garam.

"Seorang MA (pegawai perubatan) pernah nasihat dekat aku masa tengah dapatkan rawatan di klinik, bila badan dah kena strok haba, kau minum air bergelen-gelen pun tak guna.
"Apa yang perlu korang buat adalah cari air kelapa dan campurkan dengan sedikit garam.
"Atau pergi kedai mamak beli air limau asam boi. Pastikan air tu ada rasa masin garam," katanya.
MENARIK DIBACA: Pincuk timun buka selera, sesuai padan dengan nasi tomato ganti jelatah... Ratah pun 'layan'!
MENARIK DIBACA: Cara masak, kendali kuah lodeh supaya tak cepat basi... Tahan sampai 3 hari
Selain minuman bergaram, dia turut menyarankan orang ramai sentiasa menyimpan gula-gula Himalayan Salt yang banyak dijual di kedai serbaneka.
"Boleh standby gula-gula Himalayan Salt dalam beg, kalau rasa loya atau pening boleh terus makan," kongsinya.

Terdahulu, MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).
