KUALI | Trending

“Amoi suka masak, abang suka makan” - Aisha Tan dan Azrul kongsi pertemuan pertama, kepak ayam cola perkenal Soya Belacan di media sosial

Lead Image

AMOI suka masak, abang suka makan.

Itu tagline yang digunakan pasangan pempengaruh masakan ini setiap kali berkongsi video resipi mereka di media sosial.

Menggelarkan diri mereka dengan nama Soya Belacan, pasangan suami isteri, Aisha Tan, 35 dan Azrul Mukhri Azizul Affendi, 34, sering mencuit hati pengikut mereka dengan telatah bersahaja dengan aksi menghiburkan ketika menghasilkan konten masakan.

Bergelar seorang mualaf sejak 2018, Aisha atau nama sebenarnya Tan Yan Yin mengakui tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang pempengaruh, apatah lagi berkongsi resipi masakan Cina yang diubah dalam versi halal.

Aisha Tan terpaksa bereksperimen menghasilkan resipi masakan Cina versi halal untuk suaminya.

Namun, semuanya terjadi secara tiba-tiba selepas memeluk Islam dan mendirikan rumah tangga bersama suaminya.

Menurut wanita berasal dari Pulau Pinang itu, berkahwin dengan seorang lelaki yang suka makan membuatkan dia tiada pilihan apabila terpaksa masak sendiri di rumah. 

Namun timbul masalah apabila Aisha cuma tahu resipi masakan Cina dan tidak halal.

"Saya tahu masak, cuma kebanyakan resipi masakan Cina adalah tidak halal. Jadi mahu tidak mahu saya kena ubah resipi asal kepada versi halal.

Azrul menyifatkan isterinya seorang yang baik hati dan handal memasak.

"Selain suami, keluarga mentua juga selalu minta saya untuk kongsi resipi masakan Cina.

"Nak cerita satu-satu penat, jadi solusinya suami cadangkan saya buat video dan kongsikan dalam media sosial untuk memudahkan saya berkongsi resipi masakan Cina halal kepada orang ramai," ujar ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu.

Siapa sangka, resipi pertamanya iaitu kepak ayam cola mendapat sambutan ramai sehingga membuatkan dia teruja untuk berkongsi lebih banyak resipi dalam media sosial.

MENARIK DIBACA: Kongsi resipi masakan Cina versi halal, percubaan Jia Le Woh erat perpaduan melalui makanan berjaya

MENARIK DIBACA: Cinta The Rock Chilli Queen terhadap habanero tetap membara

Selain berkongsi resipi kepada orang ramai, Aisha sebenarnya mahu memperbetulkan persepsi dan fahaman keluarganya sendiri terutama bapanya selepas bergelar seorang mualaf.

Kata Aisha, bapanya pernah tersalah anggap apabila berkata anaknya tidak dapat menikmati lagi masakan Cina selepas memeluk Islam.

"Bapa sediri pernah beranggapan selepas saya memeluk agama Islam, saya hanya boleh makan makanan Melayu sahaja.

"Jadi saya mahu memperbetulkan tanggapan bapa saya bahawa, selepas bergelar mualaf saya masih boleh makan masakan Cina namun dalam versi halal tanpa mengubah keaslian rasa sesuatu masakan itu," ujarnya.

Antara resipi yang dikongsikan Aisha ialah sate kambing, Xin Jiang Lamb Skewers.

Selain berkongsi resipi, Aisha juga tidak lokek membahagi petua kesihatan makanan menggunakan bahan herba tradisional Cina.

Sebagai contoh dalam salah satu videonya, Aisha ada berkongsi resipi manisan dipanggil sup lima merah atau 'wu hong tang' yang baik untuk menambah darah dalam badan terutama wanita ketika datang bulan (haid).

Dengan menggunakan lima bahan makanan berwarna merah, perkongsian resipi tersebut mendapat banyak reaksi positif pengikutnya.

"Dalam masyarakat Cina, penggunaan herba dalam masakan memang tidak boleh dipisahkan, walaupun tidak semua resipi memerlukan penggunaan herba.

Selain masakan, Aisha juga berkongsi petua untuk kesihatan.

"Namun, ada sesetengah herba boleh diamalkan setiap hari dalam masakan untuk melazatakn hidangan dan baik untuk kesihatan.

"Jadi bila saya kongsi konten-konten sebegini, sambutannya memang cukup luar biasa," ujarnya.

Berkongsi perjalanan jenama Soya Belacan, sambil ketawa, suaminya yang sejak awal setia menemani isteri di sisi berkata nama itu sebenarnya mewakili dirinya dan juga isteri.

Kata Azrul, isterinya memang sangat suka dengan minuman soya. Bahkan ia cukup sinonim dengan masyarakat Cina.

Karakter bersahaja pasangan suami isteri ini membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

"Manakala belacan pula mewakili diri saya sebagai orang Melayu.

"Jadi bila digabungkan, maka terciptalah jenama Soya Belacan pada 2023," katanya.

Mengimbas semula bibit-bibit perkenalan dengan sang isteri, Azrul memberitahu hubungan mereka pada awalnya cuma sekadar di antara seorang guru dan juga murid.

Azrul seorang jurulatih seni bela diri kungfu, manakala Aisha pula merupakan anak salah seorang anak muridnya.

selepas bergelar mualaf saya masih boleh makan masakan Cina namun dalam versi halal.

Aisha Tan

Dedah Azrul, dia sendiri menyimpan hasrat untuk mencari isteri berbangsa Cina dan tidak sangka, perkenalan mereka membawa kepada bibit cinta sehingga ke jenjang pelamin.

Hari ini, keduanya sama-sama membawa nama Soya Belacan dengan satu misi iaitu untuk berkongsi resipi masakan Cina halal dan pada masa sama mahu menyebarkan dakwah melalui masakan.

"Selain itu, jika diberikan rezeki kami berharap supaya suatu hari nanti dapat membuka sebuah kedai makan berkonsepkan kopitiam dan menghidangkan aneka masakan Cina halal yang enak dan berkhasiat.

"Diharap kedai makan ini nanti juga boleh menjadi tempat masyarakat pelbagai bangsa berkumpul dan sama-sama menikmati hidangan menyelerakan," kata Aisha.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Epal black diamond lebih manis daripada madu, hanya 'hidup' di pergunungan Tibet... Harganya cecah RM30 sebiji

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Gula-gula getah ada ribuan mikroplastik? Lelaki kejar 'jawline' kaku bila baca kajian penyelidik

Terhangat