KUALI | Trending

Susah betul nak jumpa! Ini 5 kuih tradisional hampir pupus ditelan dek zaman

Lead Image

SEIRING peredaran waktu, beberapa jenis kuih tradisional Melayu juga turut mengalami nasib sama apabila perlahan-lahan ia mula lenyap dan semakin dilupakan.

Mungkin generasi hari ini tidak lagi berminat meneruskan legasi atau belajar cara membuat kuih tradisional kerana faktor renyah selain memerlukan kesabaran yang tinggi.

Selain itu, lambakan aneka jenis manisan atau pastri moden dengan cita rasa generasi hari ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk belajar dan mengekalkan kuih-muih tradisi orang lama.

Sekadar perkongsian, Kuali senaraikan lima kuih tradisional Melayu yang semakin kian dilupakan malah mungkin tidak akan wujud lagi pada masa akan datang.

Kuih bunga pudak merupakan hidangan tradisional dari negeri Kedah.

1. Bunga pudak

Bunga pundak merupakan kuih berasal dari Kedah dan berbentuk segi empat. Mempunyai inti kelapa, kuih bunga pudak biasanya dihasilkan dengan perisa ros atau pandan.

Bahan asas digunakan adalah tepung pulut dan air garam. Teknik membuat kuih bunga pudak dengan cara menapis tepung di atas kuali panas, lalu letakkan sedikit inti kelapa dan lipat dengan kemas.

Ramai tidak mahu membuat kuih ini kerana ia rumit dan cepat pecah jika tidak mahir menghasilkannya.

Kuih putu perak memiliki tekstur halus dan gebu selepas dimasak dengan cara mengukus.

2. Putu perak

Kuih putu perak memiliki tekstur halus dan gebu selepas dimasak dengan cara mengukus. Kuih putu perak merupakan kuih tradisional warisan dari negeri Perak yang hampir pupus.

Cara menghasilkan kuih putu perak sebenarnya amat mudah iaitu dengan teknik mengukus. Kuih putu perak mempunyai warna putih dengan tekstur gebu dan halus. 

Gelamai atau kelamai memiliki tekstur yang mirip seperti dodol.

3. Gelamai/kelamai

Kuih gelamai atau kelamai merupakan kuih tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu juga di negeri Perak. Ada juga segelintir masyarakat memanggilnya sebagai lemang tepung yang memiliki rasa dan tekstur seperti dodol.

Bezanya kuih ini dimasak di dalam buluh dan bahan digunakan adalah tepung pulut, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak dan gula putih.

Proses menghasilkan gelamai tepung memerlukan masa lama kerana bahan diadun perlu diperap selama tiga hari sebelum dibakar. Menariknya, kuih gelamai tepung mampu disimpan selama setahun.

Celorot biasanya dimakan pada waktu pagi sebagai sarapan.

4. Kuih celorot 

Kuih celorot merupakan antara kuih tradisional masyarakat Melayu di negeri Sarawak yang biasanya dihidangkan semasa kenduri atau musim perayaan.

Kuih celorot diminati bukan hanya kerana rasanya yang enak tetapi tekstur isinya yang lembut.

Antara bahan diperlukan untuk membuat kuih celorot ialah beras pulut, gula apong dan santan.

Lemper mempunyai inti udang kering pada bahagian tengah.

5.  Lemper

Lemper merupakan kuih tradisional masyarakat Jawa di Selangor. Lemper atau pulut lemper lazimnya dibuat secara gotong-royong dalam majlis kenduri sama ada perkahwinan atau perayaan.

Uniknya, lemper mempunyai inti udang kering yang ditumbuk lumat bersama bawang putih serta serai dan digoreng terlebih dahulu.

Adunan tersebut kemudiannya digaul dengan kelapa parut sehingga menghasilkan aroma yang memikat. 

Lemper kemudiannya dibalut dengan daun pisang dan dikukus sehingga masak.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Zencrich Wagyu cipta rekod, pengimport terbesar daging wagyu Jepun halal ke Malaysia

Terhangat