Dari sajian warung sehinggalah ke dapur hotel, semua ada di Kuali!

SELEPAS lebih dua dekad menjadi rujukan utama peminat dunia kulinari, portal masakan ikonik Kuali yang dahulunya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris kini diperkenalkan dalam versi Bahasa Melayu bermula 1 Julai 2025.
Kuali berwajah baharu ini membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka dan menikmati pelbagai resipi yang menyelerakan dan autentik dari hidangan warung sehinggalah ke sajian hotel lima bintang.
Dengan tagline ‘Lebih Daripada Resipi’, Kuali turut memperkenalkan pelbagai segmen seperti Resipi & Bakeri, Singgah Makan, Petua, Sedap, Video dan Trending dalam memberi pilihan lebih luas kepada pembaca yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan dunia kulinari.
Ketua Pengarang Berita, Niezam Abdullah berkata, matlamat utama perubahan kandungan Kuali dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai audiens memperoleh manfaat terhadap kandungan berkaitan resipi dan masakan.

Ia juga untuk memupuk kecintaan terhadap makanan bermula daripada resipi warisan tradisi turun temurun kepada menu moden serta cita rasa yang menjadi sebutan dan pilihan ramai.
“Ketika ini, terlalu banyak portal berkaitan kulinari dalam Bahasa Inggeris yang boleh diakses oleh pembaca termasuklah portal-portal luar negara.
“Dengan perubahan kandunagn KuaIi dalam Bahasa Melayu ini, sasarannya adalah lebih fokus dengan menghasilkan kandungan yang bersesuaian dengan cita rasa orang Malaysia,” katanya.
MENARIK DIBACA: Tak payah beli produk mahal-mahal, amal makan kimchi bantu jaga kesihatan Miss V
MENARIK DIBACA: Teringin punya fasal, sekumpulan angkasawan buat sushi di angkasa lepas... Guna pita pelekat elak makanan ‘terbang’
Menurut Niezam, Kuali berwajah baharu membawa pembaca untuk meneroka makanan dan minum viral, kelazatan sajian di warung, air tangan selebriti, petua serta pelbagai seni kulinari timur dan barat yang mengikut trend terkini dalam menampilkan kandungan segar kepada pembaca.
Katanya, Kuali terbaharu ini tidak sahaja memuatkan artikel berkaitan makanan dan masakan sema-mata tetapi turut menyediakan bahan bacaan penting bagi membolehkan pembaca tidak telepas kandungan berbentuk ‘trending’.
Untuk rekod, jenama Kuali dilancarkan buat kali pertama pada tahun 1998 oleh Star Media Group (SMG) yang merupakan antara portal resipi digital terawal di Malaysia, diterbitkan dalam Bahasa Inggeris.

Kini, dengan penampilan baharu dalam Bahasa Melayu, Kuali terus komited untuk menjadi platform yang inklusif dan mesra pengguna, selari dengan cita rasa dan keperluan masyarakat Malaysia berbilang bangsa.
Kemunculan semula Kuali wajah baharu ini diharap dapat mengukuhkan lagi peranannya sebagai hab digital masakan paling dipercayai di Malaysia selain berkongsi minat bersama komuniti pencinta makanan.
Kuali berbahasa Melayu ini boleh dilayari menerusi pautan www.kuali.com serta platform media rasmi Instagram, TikTok dan Facebook.
Maklum balas berkaitan portal Kuali ini boleh disalurkan menerusi e-mel: editorial@kuali.com