[V] Nadia Aqilah tak 'hadap' beg tangan mahal, lebih rela beli makanan organik untuk anak-anak

JIKA sesetengah selebriti gemar menghabiskan wang membeli barangan berjenama tapi lain pula halnya dengan pelakon dan penyanyi Nadia Aqilah.
Nadia atau Nadia Aqilah Bajuri, 39, sebaliknya lebih rela menghabiskan duitnya membeli makanan terbaik serta berasaskan organik untuk dua orang anaknya.
“Kalau orang lain mungkin akan laburkan wang ringgit untuk beli beg tangan mahal tapi saya lagi suka beli barang-barang dapur berkualiti seperti makanan organik.
“Saya akan beli susu terbaik dan sayur yang bagus untuk keperluan anak-anak. Perkara itu lebih membuatkan saya lebih gembira," katanya kepada Kuali.

Ujar pelakon drama Khunsa itu, dia mementingkan sumber pemakanan anak-anaknya iaitu Senja Aqila dan Bayu Aria yang kini masing-masing berusia enam dan dua tahun, selain tegas memantau pemakanan mereka.
"Saya memang agak tegas menjaga pemakanan mereka (anak). Contohnya, saya tidak beri mereka makan garam dan gula ketika berusia dua tahun ke bawah. Tapi saya gantikan sumber makanan lebih sihat seperti madu.
"Saya lakukan perkara tersebut kerana mahu anak-anak mendapat manfaat pemakanan yang lebih sihat," ujarnya.
MENARIK DIBACA: [V] Sharifah Sakinah tak reti masak, fobia rumah hampir terbakar sebab goreng telur
MENARIK DIBACA: Ada satu bahan buat ikan goreng ala mamak istimewa, makan panas-panas sedapnya
Pada masa sama, Nadia tetap mendidik anak-anaknya supaya tidak menjadi seorang cerewet dalam soal pemakanan dan akan memberi makanan yang diinginkan, sesuai dengan pertumbuhan mereka.
"Alhamdulillah anak-anak memang suka makan. Saya ajar mereka makan macam-macam sejak berusia enam bulan. Saya tidak beri mereka makan bubur sahaja.
"Daripada situ, saya mendidik mereka supaya tidak memilih dan cerewet soal makan," kata Nadia yang akan meluangkan masa di dapur untuk memasak bersama anak-anaknya jika tidak sibuk.