[V] Pernah kerja restoran Thai, wanita 'spill' cara buat tomyam sotong santan
KADANG-kadang buntu juga memikirkan menu ingin dimasak, lebih-lebih lagi jika tekak teringin nak makan sajian berkuah, pedas dan berlemak.
Kalau sudah bosan dengan lauk harian, boleh cuba sediakan tomyam sotong santan ala Thai yang cukup lazat dinikmati bersama nasi panas.
Perkongsian resipi ini dibuat oleh seorang wanita dikenali sebagai IQA, yang berkongsi cara penyediaannya di Threads.
Menurutnya, pengalaman bekerja di sebuah kedai tomyam selepas tamat persekolahan memberi peluang untuk dia melihat pelbagai teknik menghasilkan hidangan popular tersebut.
Kongsinya, dia lebih gemar merebus bahan-bahan seperti serai, halia, lengkuas, bawang, cili dan daun limau purut terlebih dahulu sehingga kuah benar-benar naik aroma.
Cara itu dikatakan menghasilkan rasa tomyam yang lebih segar tanpa perlu menumis.
Jadi tunggu apa lagi, jom cuba buat sendiri tomyam sotong santan ala Thai ini.

Bahan-bahan
- 600ml stok ayam
- 4 ulas bawang putih (dititik)
- 5 biji bawang merah kecil (dihiris nipis)
- 2cm lengkuas (dititik)
- 2cm halia (dihiris nipis)
- 5 biji cili padi (ikut tahap kepedasan, dititik)
- 2 batang serai (dititik)
- 4 helai daun limau purut
- 2 tangkai daun ketumbar (dipotong kasar)
- 1 biji tomato sederhana (dipotong kepada 6 atau 8 bahagian)
- 150ml santan
- 1 1/2 sudu besar kicap ikan
- 1/2 sudu teh serbuk perasa (pilihan)
- 100g cendawan tiram (disiat)
- 8 biji bebola ikan
- 150g sotong (dipotong gelang)
- 1 1/2 sudu besar jus limau
MENARIK DIBACA: Menu diet ayam rebus pedas tak guna minyak! Enak, boleh makan dengan senang hati
MENARIK DIBACA: Cara buat sos Thai sedap ala kedai tomyam... Gaul-gaul dah siap!
Langkah penyediaan
- Didihkan air di dalam periuk.
- Masukkan bawang putih, bawang merah, lengkuas, halia, cili padi, serai, daun limau purut, tomato, cendawan tiram dan bebola ikan. Biarkan mendidih selama 8 hingga 10 minit sehingga semua bahan mengeluarkan aroma.
- Tuang santan, kemudian masukkan kicap ikan dan serbuk perasa. Kacau perlahan dan biarkan kuah mereneh. Elakkan kuah mendidih terlalu kuat selepas santan dimasukkan supaya tidak pecah lemak.
- Masukkan daun ketumbar dan sotong kemudian masak selama 1 hingga 2 minit sahaja bagi mengelakkannya menjadi liat.
- Kemudian masukkan perahan air limau.
- Sedia dihidangkan panas bersama semangkuk nasi putih.