Beras dan cili sangai rahsia sup daging Thai enak lain macam
SIAPA yang pernah menikmati sup daging Thai pasti sukar melupakan rasa pedas, masam dan aroma herba yang cukup menyelerakan.
Kini, tak perlu bercuti ke Thailand semata-mata untuk menikmatinya kerana hidangan ini boleh disediakan sendiri di rumah.
Menerusi perkongsian pempengaruh, Che Sayang, resipi Tom Saab ini bukan sahaja mudah dihasilkan, malah menggunakan bahan-bahan ringkas yang sedia ada di dapur rumah.
Keistimewaan Tom Saab terletak pada gabungan rasa pedas daripada cili, masam daripada limau nipis serta haruman serai, lengkuas dan daun limau purut yang meresap ke dalam kuah sup daging.

Bahan-bahan
- 1 1/2kg daging bersama tulang
- 1/2 cawan beras
- Beberapa tangkai cili kering
- 4 akar ketumbar
- 2 inci lengkuas (dihiris)
- 4 batang serai (dititik)
- 4 helai daun limau purut
- 1/2 biji bawang Holland
- 1/2 sudu besar pes asam jawa
- 6 tangkai cili padi merah
- Cili flakes secukupnya
- 1 botol kecil sos ikan Thai
- 1 biji tomato (dipotong)
- Daun ketumbar secukupnya
- Limau nipis secukupnya
MENARIK DIBACA: Atikah Suhaime masak sup ekor resipi arwah datuk, ada memori di sebalik sajian - "Semakin hari makin masin"
MENARIK DIBACA: Kecewa bihun sup campur 'rupa' tak semenggah - "Pergi festival makanan kena belajar reda"
Cara penyediaan
- Rebus daging bersama tulang selama kira-kira sejam atau sehingga empuk.
- Sementara itu, sangai beras bersama beberapa tangkai cili kering sehingga naik bau.
- Setelah daging empuk, masukkan akar ketumbar, lengkuas, serai, daun limau purut dan bawang Holland.
- Tambahkan pes asam jawa dan biarkan kuah terus mereneh.
- Masukkan cili padi merah bersama cili kering yang telah disangai.
- Masukkan cili flakes mengikut tahap kepedasan yang diingini.
- Tumbuk kasar beras yang telah disangai, kemudian masukkan ke dalam sup dan kacau hingga sebati.
- Tuangkan sos ikan Thai, kemudian masukkan tomato dan hirisan daun ketumbar.
- Tutup api dan akhir sekali perahkan limau nipis mengikut tahap masam yang digemari.
- Sedia dihidangkan ketika masih panas.