Tak menyesal buat puding matcha Oreo viral, setiap suapan penuh nikmat
GARA-gara sering muncul di ruangan For You Page (FYP), ramai mula terjebak untuk mencuba sendiri pencuci mulut yang sedang tular ini.
Turut tidak ketinggalan, seorang lelaki dikenali sebagai Raqib Idar yang mengambil keputusan untuk cuba menghasilkannya sendiri.
Melihat warganet berkongsi mengenai pencuci mulut berkenaan mencetuskan rasa ingin tahu dalam diri sekali gus mendorongnya untuk menghasilkan sajian itu di rumah.
"Dah berhari-hari keluar dekat FYP, akhirnya aku 'surrender' dan cuba buat sendiri.
"Sekali, eh betul la orang cakap. Sedap gila! Rasa matcha dengan Oreo tu memang ngam, makan sekali terus rasa nak buat lagi," katanya.
Gabungan rasa pahit manis serbuk matcha bersama kerangupan biskut Oreo menjadikan pencuci mulut ini bukan sahaja menarik dipandang, malah cukup menyelerakan.
Bagi yang ingin mencuba, berikut dikongsikan resipi puding matcha Oreo:

Bahan-bahan
- 1 paket agar-agar 'plain' (bukan jenis segera/nutrijel)
- 4 sudu besar gula pasir
- 600ml susu cair
- 1 hingga 2 sudu besar serbuk matcha (bancuh dahulu dengan sedikit air panas supaya tidak berketul)
- 2 sudu besar air panas untuk bancuh matcha
- Secubit garam
- 100ml susu cair
- 200ml susu UHT sejuk
- Susu pekat manis mengikut cita rasa (jika suka rasa lebih manis)
- 4 hingga 5 keping oreo
Cara penyediaan
- Bancuh serbuk matcha dengan sedikit air panas sehingga larut dan ketepikan.
- Masukkan agar-agar, gula pasir dan susu cair ke dalam periuk. Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga agar-agar larut sepenuhnya.
- Masukkan bancuhan matcha dan secubit garam. Kacau rata sehingga sebati.
- Tuang adunan puding ke dalam bekas pilihan dan biarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk sehingga mengeras.
- Untuk kuah susu, campurkan susu cair, susu sejuk dan susu pekat manis mengikut tahap kemanisan yang diinginkan.
- Apabila ingin dihidangkan, tuangkan kuah susu ke atas puding matcha dan taburkan Oreo yang telah dihancur kasar.