KUALI | Resipi Moden
Salmon ceviche membuka selera, rasanya mirip umai ikan

JIKA anda penggemar hidangan makanan laut mentah, boleh cuba sajian asal dari Amerika Latin iaitu Ceviche.
Tidak banyak beza dengan juadah tradisional suku Melanau di Sarawak iaitu umai, Ceviche turut menggunakan kaedah ‘memasak’ yang sama iaitu menggunakan jus limau dan cili.
Perahan limau bersifat asid dan sensasi pedas cili yang akan memasakkan isi ikan salmon selain memberi rasa yang enak dengan menambahkan hirisan bawang serta herba dalam membangkitkan aromanya.
Tak susah pun hendak membuatnya, ikut resipi yang disediakan Kuali kali ini.
Bahan-bahan
- 33 g salmon dipotong kiub
- 1 ½ biji limau nipis diperah, diambil jus
- ½ biji lemon diperah, diambil jus
- 1 biji capsicum, dipotong dadu
- 1 biji mangga masak, dipotong dadu
- 1 biji bawang merah, dihiris halus
- 4 ulas bawang putih, dicincang
- ½ sudu kecil daun dill kering
- ¼ sudu kecil lada hitam serbuk
- ¼ sudu kecil garam
- 1 sudu besar kulit oren parut
- 2 sudu besar bunga kantan, dicincang halus
- 3 tangkai ketumbar
Sos salad jus limau gedang
- 1 biji jus limau gedang
- 1 biji jus oren
- 2 ulas bawang putih
- 3cm halia
- 1 biji bawang kuning
- ½ sudu kecil garam
- 2 sudu besar minyak zaitun
Langkah penyediaan
- Letakkan kiub salmon dalam mangkuk besar. Rendamkan dalam jus sitrus sehingga terendam sepenuhnya. Simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua jam hingga ikan bertukar warna menjadi lebih pudar.
- Dalam mangkuk besar masukkan semua bahan dan gaul rata.
- Letakkan ikan yang sudah diperam ke dalam campuran bahan dan gaul sehingga semuanya sebati.
Sos salad jus limau gedang
- Masukkan semua bahan sos salad jus limau gedang dalam pengisar dan kisar hingga halus.