[V] Bahan masak mesra poket, ini 6 item wajib 'grab' kalau masuk kedai RM2
KALAU sebut pasal membeli barangan dapur, memang tak sah kalau tak cari tempat murah, berkualiti dan berbaloi.
Mana taknya zaman sekarang dengan kos sara hidup yang semakin meningkat setiap ringgit dibelanjakan perlu digunakan dengan bijak.
Sebab itulah penting untuk tahu di mana nak dapatkan barangan dapur yang bukan saja mesra poket tapi berbaloi untuk berbelanja.
Kali ini, Kuali nak bawa anda semua ke satu tempat menarik yang cukup terkenal dengan pelbagai pilihan produk makanan siap serendah RM 2.40 memang rambang mata dibuatnya!
Nak tahu apa yang menarik? Jom kita tengok 6 pilihan produk yang wajib anda grab bila singgah kat Eco Shop ini!

1. Instant mix cake/muffin
Kini, tak perlu lagi pening kepala atau habis banyak masa di dapur semata-mata untuk buat kuih atau kek sedap. Dengan adanya adunan segera semuanya jadi lebih mudah dan cepat!
Bukan terhad kepada kek dan muffin sahaja terdapat pelbagai jenis adunan segera di pasaran seperti cucur udang, cekodok pisang, donat dan juga pankek.
MENARIK DIBACA: Terliur kalau tengok dalam K-drama, rupanya Jajangmyeon dan kimbap antara 6 makanan ikonik bukan asal Korea
MENARIK DIBACA: Telur dadar kedai Thai memang sedap lain macam, bancuhan bersama air soda dan kicap bukit rahsianya
Cuma tambah bahan asas seperti air, telur atau susu mengikut arahan dan terus boleh dimasak.
Tak perlu uli atau tunggu doh naik ia sesuai sangat untuk anda yang sibuk, baru belajar memasak atau mahu hidangkan sesuatu enak dalam masa singkat.

2. Bihun instant goreng/sup
Kadang-kadang, pilihan bihun instant yang sering dimakan boleh jadi bosan dan jemu.
Sama ada bihun goreng atau sup, rasanya yang sama saja boleh membuatkan hilang minat untuk mencuba sesuatu yang lain.
Tapi, jangan risau! Apa kata kali ini anda cuba sesuatu yang lebih istimewa iaitu bihun berperencah kari putih Penang.
Perencah kari putih yang kaya dan harum dipadankan dengan telur separa masak lembut serta udang segar memang menghasilkan hidangan yang menggoda selera dan mengenyangkan.
Selain dapat menikmati kelazatan yang berbeza, anda juga secara tidak langsung menyokong produk lokal yang berkualiti.

3. Pes makanan segera Sudee
Bahagian ini memang menjadi kegemaran para ibu kerana kemudahannya membolehkan masakan disiapkan hanya dengan menggunakan perencah segera.
Dengan pes makanan segera Sudee, memasak hidangan lazat dan autentik menjadi lebih pantas dan mudah tanpa perlu bersusah payah menyediakan bahan perisa dari awal.
Antara pilihan perisa yang boleh didapati ialah oden kaya dengan rasa perisa, tom yam pedas dan berempah, nasi ayam Hainan harum dan menyelerakan.
Bukan itu sahaja, bihun goreng sedap dan ringkas serta mee goreng mamak penuh cita rasa juga turut dijual.
Kesemua perisa ini direka khas untuk memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat menjadikan Sudee pilihan tepat untuk hidangan harian cepat dan menyelerakan.

4. Sprinkle seasoning
Bila petang-petang, memang seronok makan snek panas seperti fries, ayam goreng, nugget, dan cucur.
Jangan risau, sprinkle seasoning ini boleh jadi penyelamat dengan pilihan perisa seperti rumpai laut pedas, keju, dan hot & spicy yang sangat sedap.
Selain untuk tabur, perisa-perisa ini juga sesuai digunakan sebagai bahan perapan untuk ayam goreng menjadikan hidangan lebih lazat dan berperisa.

5. Nasi goreng ready to eat
Pagi-pagi biasanya anda pasti sibuk dan terkejar-kejar mahu siapkan sarapan kan, jadi nasi goreng siap makan ini memang penyelamat masa.
Hanya panaskan dalam masa singkat dan hidangan sedap terus sedia untuk dinikmati tanpa perlu memasak lama.
Untuk variasi rasa, tersedia tiga pilihan perisa popular iaitu nasi goreng kampung penuh rempah, nasi goreng Cina klasik dan nasi goreng Korea unik dengan cita rasa pedas manis.
Memang sesuai untuk tukar-tukar menu supaya tidak bosan setiap hari.

6. Sos pasta ready to serve
Tak perlu lagi pening kepala dan bazir masa memasak spageti lama-lama.
Dengan sos pasta siap sedia ini, anda cuma perlu panaskan sahaja dan terus boleh hidangkan bersama pasta kegemaran.
Sos yang kaya rasa ini memudahkan anda menyediakan hidangan pasta sedap dan menyelerakan tanpa perlu susah payah menyediakan bahan-bahan perasa.
Sesuai untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam yang cepat dan mudah.