"Kalau boleh nak sejambak bayam" - Geng cikgu mengaku teruja dapat barang dapur hadiah Hari Guru
SETIAP kali tiba Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, ibu bapa dan pelajar pasti mula runsing memikirkan hadiah paling sesuai untuk diberikan sebagai tanda penghargaan.
Kebiasaannya, hadiah yang terlintas di fikiran ialah pen, bunga atau cenderahati, tapi pernah tak anda terfikir untuk beri barangan dapur?
Jika pernah terlintas idea tersebut, hati tertanya-tanya pula adakah golongan pendidik sudi menerima minyak masak, rempah ratus atau barangan keperluan harian sebagai hadiah?
Persoalan ini turut bermain di minda seorang wanita dikenali Nur 'afini Ghazali yang bertanyakan tentang perkara ini di laman Threads.
"Cikgu-cikgu sekalian tolong jawab, suka tak kalau terima barang dapur sebagai hadiah Hari Guru? Contoh minyak masak yang 500ml tu dan lain-lain selain rempah ratus. Cikgu suka ke tak suka?" tulisnya.

Jawapan yang diberikan para guru di ruangan komen ternyata membuatkan ramai terkejut!
Menerusi perkongsian beberapa guru dan ibu bapa, kebanyakan mereka sebenarnya sangat menghargai hadiah sebegini malah ada yang mengaku lebih teruja menerimanya berbanding hadiah biasa.
Seorang guru yang mengajar di kawasan pedalaman berkongsi bahawa barangan asas seperti minyak masak dan air mineral sangat bernilai buat dirinya.
"Suka sangat, awak! Saya duduk pulau di kawasan pedalaman. Barang-barang macam ni dan air mineral sangat berharga bagi saya," katanya.
MENARIK DIBACA: Pertama kali cuba terus jadi! Wanita berjaya buat jem rambutan, tak sangka sedap
MENARIK DIBACA: Isteri pelik suami suka sangat sotong dalam tin, ramai tampil mengaku peminat tegar - "Ketagih dari kecil"
Ada juga yang pernah menerima hamper berisi bahan memasak seperti cucur segera, sos cili dan serbuk kari. Menariknya, hadiah itu terus digunakan sebaik sahaja pulang ke rumah.
"Balik tu terus goreng cucur. Seronok sangat!" kongsi seorang lagi guru.
Malah ramai guru lain turut berkongsi pandangan yang lebih menyentuh hati kerana bagi mereka, nilai sesuatu hadiah itu bukan terletak pada harga atau rupa tetapi pada keikhlasan pemberian tersebut.

"Kalau boleh nak sejambak bayam/sejambak salad/sejambak kangkung dan sebagainya... macam sweet tapi berguna.
"Saya pernah bagi rempah-rempah dan barang dapur untuk cikgu-cikgu anak saya dan salah seorang guru yang dapat tu buat video unboxing hadiah-hadiah yang dia dapat. Masa unboxing hadiah saya, isteri dia yang jerit seronok dapat barang-barang tu.
"Saya pernah dapat minyak masak kelapa daripada anak murid, suka sangat! Ada juga ibu bapa bagi softener (pelembut kain).
"Saya suka, tak kisah anak murid bagi apa pun. Kami sebagai guru terima sahaja dengan tangan terbuka tiada paksaan. Anak murid saya pernah bagi RM1 pada saya, katanya tiada duit nak beli hadiah untuk cikgu, jadi tersentuh sangat dengan usaha murid tu," demikian antara komen guru.