Ada syarat, ciri tertentu... Sunat pilih warna haiwan korban dianjurkan dalam Islam
RAMAI menyangka pemilihan haiwan korban cukup sekadar memastikan ia sihat dan cukup syarat.
Biasanya haiwan yang cukup umur, berat dan bersaiz sesuai serta sempurna fizikalnya sudah mencukupi untuk dijadikan korban.
Hakikatnya, Islam turut mengajar kita memilih haiwan korban termasuk dari sudut warna yang mana terdapat aturan warna yang lebih afdal.
Memetik laman Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pemilihan haiwan korban bukan sekadar melihat kepada fizikal yang sempurna dan cukup syarat, malah warnnya turut diberi perhatian berdasarkan hadis serta pandangan fuqaha.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:
"Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor kibas putih kehitaman lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan Baginda sendiri lalu membaca basmalah dan bertakbir serta meletakkan kaki Baginda di antara leher dan badan haiwan tersebut" - Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966).

Dalam hadis tersebut, perkataan 'amlahain' yang dihuraikan ulama adalah sebagai warna putih yang mempunyai tompokan hitam atau warna putih yang lebih dominan daripada hitam.
Sebahagian ulama juga menyatakan haiwan tersebut memiliki sedikit warna kemerahan.
Menerusi perkongsian topik Irsyad Fatwa Khas Haji dan Korban Siri ke-63: Warna Haiwan Korban Yang Utama, dijelaskan bahawa Ibn al-‘Arabi menjelaskan 'amlah' membawa maksud putih bersih, manakala al-Asma’i pula mentafsirkannya sebagai putih yang bercampur warna kehitaman.
Imam al-Munawi turut menyatakan warna seperti itu dipilih kerana lebih cantik penampilannya selain dikaitkan dengan haiwan yang lebih gemuk serta banyak daging.
Turut dijelaskan, individu yang melakukan ibadah korban digalakkan memilih haiwan yang paling baik, sempurna fizikalnya dan elok keadaannya.
Berdasarkan hadis dan huraian tersebut, Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan bahawa para ulama mazhab Syafie menyusun keutamaan warna haiwan korban.
Warna yang paling utama ialah putih, diikuti kuning, kelabu, merah dan belang putih manakala warna hitam berada pada kedudukan terakhir.
MENARIK DIBACA: Cara betul cuci botol susu bayi tanpa guna sterilizer, tak cukup basuh guna sabun je!
MENARIK DIBACA: Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
Para fuqaha bersepakat bahawa memilih warna haiwan korban yang baik dan cantik adalah sunat hukumnya.
Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam."
Hadis tersebut menunjukkan terdapat kelebihan tertentu pada warna haiwan korban walaupun semua warna tetap sah dijadikan korban selagi memenuhi syarat yang ditetapkan syarak.
Bagaimanapun, perkara paling utama dalam ibadah korban ialah keikhlasan serta kemampuan seseorang.
Pemilihan warna hanyalah satu kelebihan yang digalakkan manakala haiwan yang dipilih mestilah sihat, cukup umur dan tidak mempunyai kecacatan.