[V] Hantar makanan sambil menari 'all out', pelayan restoran buat pelanggan terlopong!
SETIAP restoran atau kedai makan mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian pelanggan.
Selain menawarkan menu enak serta layanan mesra, ada juga premis memilih untuk menyuntik elemen hiburan bagi memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih menyeronokkan.
Begitulah yang dilakukan sebuah restoran di Bangkok, Thailand apabila pelanggan dihiburkan dengan persembahan tarian daripada para pelayan ketika pencuci mulut dihidangkan.
Video yang tular di media sosial memaparkan dua pelayan di restoran Katsu Midori cawangan Central Northville menyajikan puding berbentuk kucing sambil menari di hadapan pelanggan.
Dengan iringan muzik rancak, para pelayan mempersembahkan tarian bertenaga sebelum meletakkan hidangan di atas meja, sekali gus menceriakan suasana restoran.
Menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu, kelihatan seorang pelanggan yang juga 'influencer' begitu terhibur ketika menyaksikan aksi tersebut.
Menariknya, pelayan berkenaan turut menerima wang sagu hati dan beberapa buah tablet pintar daripada pelanggan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka menghiburkan pengunjung.

Keunikan cara penyajian tersebut membuatkan warganet berkongsi video tular itu di media sosial.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya mengakui joget itu memberikan pengalaman menjamu selera yang berbeza.
Malah, ada yang menyifatkannya sebagai antara tarikan unik wajib pergi apabila berkunjung ke Bangkok.
"Kalau satu meja pun servisnya macam ini, bayangkan ada 20 meja memang lenguh badan dibuatnya.
"Penat betul. Setiap kali hantar menu kena menari.
"Saya pula asyik fokus tengok puding itu bergoyang-goyang.
"Baru satu meja, masih ada 99 meja lagi. Teruskan semangat!" antara komen warganet.
MENARIK DIBACA: Terlekat tulang ikan, wanita kongsi bacaan disaran ustazah... Ramai tampil kongsi petua lain
MENARIK DIBACA: Wanita kurang selesa lihat bayi diberi kurma bekas mulut pentahnik... Tak tolak sunah, cuma fikir kebersihan
Tidak kurang juga sebahagian netizen meluahkan rasa kagum terhadap komitmen para pelayan yang sanggup memberikan persembahan demi menceriakan pengalaman pelanggan di restoran tersebut.
"Demi mencari rezeki mereka sanggup buat semua ini. Semoga terus kuat dan tabah demi meneruskan kehidupan.
"Lebih baik konsep macam ini daripada restoran yang berlagak sombong atau bermuka masam seperti pernah tular beberapa tahun lalu.
"Kumpulan ini memang terbaik terutama pelayan di sebelah kanan.
"Harap mereka dibayar dengan gaji yang setimpal. Tenaga yang diperlukan untuk persembahan seperti ini memang luar biasa, lebih-lebih lagi dalam zaman mencabar sekarang," komen netizen lagi.