Cef asal Miri juara World National Tapas Competition 2025, wakil negara ke pertandingan dunia di Sepanyol
CEF muda berbakat besar dari Miri, Sarawak iaitu Liew Kit Kiet muncul sebagai juara pertandingan World National Tapas Competition 2025 pada 19 Jun lalu.
Liew, 24, berjaya menumpaskan 20 cef lain dari negeri tersebut yang turut berentap merebut gelaran juara.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Liew mewakili negara ke World Tapas Championship yang akan berlangsung di Sepanyol pada November ini.
Liew dipilih sebagai pemenang selepas berjaya memukau juri menerusi inovasi hidangan ikonik laksa Sarawak yang digubah menggunakan coklat gelap dan keju kelapa.
Kemampuan Liew mengekalkan rasa asli hidangan tradisional masyarakat Sarawak itu juga membuatkan dia terpilih sebagai juara.
“Saya sangat berbangga dengan diri sendiri, lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan memasak.
“Tiada rahsia tertentu pada menu saya itu cuma saya tambah coklat gelap untuk seimbangkan rasa rempah dan santan yang diperam untuk dijadikan keju kelapa,” katanya.
Pertandingan itu diadakan di KTS Garden, Kuching, Sarawak bersempena penutup World National Tapas and World Asia Tapas Competition Exhibition and Seminar 2025.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh cef Jack Own Atit, 36, dari Restoran Kyujin di Kuching yang mengetengahkan warisan dan pengalaman kulinari melalui hidangan diinspirasikan 'kasam' iaitu kaedah tradisional penapaian.