Setiap negeri ada keunikan tersendiri, jenis laksa mana kegemaran anda?
LAKSA merupakan salah satu hidangan ikonik yang mencerminkan kepelbagaian citarasa rakyat Malaysia.
Menariknya, hampir setiap negeri mempunyai versi laksa tersendiri sama ada dari segi bahan, rasa dan cara penyediaannya.
Tidak hairanlah jika ada yang bertegas mengatakan laksa negeri masing-masing paling sedap!

Namun, soal sedap atau tidak sebenarnya bergantung kepada selera dan citarasa masing-masing.
Jadi, laksa versi mana yang paling menggoda selera anda?
MENARIK DIBACA: Memang sedap dibuat goreng sumbat sambal... Penghidap gout kena hati-hati, ikan cencaru boleh jadi ‘silent killer’
MENARIK DIBACA: Siapa kata ibu baru bersalin tak boleh makan sedap? Ini 5 menu boleh dicuba ketika berpantang 44 hari
Jom kita terokai beberapa jenis laksa paling popular di Malaysia dan ketahui keistimewaan setiap satunya.

1. Laksa Penang
Laksa Penang atau Laksa Asam adalah antara laksa yang paling terkenal.
Kuahnya masam-masam manis dan pedas dibuat daripada ikan, asam keping dengan pelbagai rempah ratus membangkitkan aroma.
Ditambah dengan mi laksa lembut, hirisan timun, bawang dan daun kesum, ia memberikan rasa enak dan menyegarkan.

2. Laksa Sarawak
Laksa Sarawak pula lebih berperisa berkrim dengan kuah yang berasaskan santan dan rempah.
Versi ini menggunakan bahan seperti ayam atau udang dan ditambah dengan mi beras yang sedikit tebal.
Rasa kuahnya kaya dan sedikit manis, sangat berbeza dengan laksa Penang.

3. Laksa Johor
Laksa Johor unik kerana menggunakan spaghetti sebagai mi dan kuahnya diperbuat daripada ikan parang yang dihaluskan bersama rempah ratus.
Ia juga disajikan dengan pelbagai ulam-ulaman, telur rebus dan sambal belacan memberikan kombinasi rasa yang luar biasa.

4. Laksa utara (Kedah/Perlis)
Laksa utara atau Laksa Kedah mempunyai kuah yang pekat dan berwarna kuning keemasan diperbuat daripada ikan dan rempah seperti kunyit dan cili kering.
Ia biasanya dihidang bersama mee kuning, telur rebus, taugeh dan daun kesum memberikan rasa yang pedas dan sedikit masam, cukup menyegarkan.
Laksa utara juga dikenali dengan rasa kuahnya yang lebih pekat dan berempah.

5. Laksa Nyonya Melaka
Laksa Nyonya atau Laksa Lemak Nyonya berasal dari Melaka dan mempunyai kuah berasaskan santan yang kaya dengan aroma serai, bunga kantan dan daun limau purut.
Ia biasanya dihidang bersama mi kuning atau mi beras, udang, fishcake, taugeh dan sambal.
Rasanya lebih lemak dan wangi, dengan sentuhan rempah yang unik dari masakan Peranakan.

6. Laksam (Pantai Timur)
Laksam berasal dari Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.
Ia menggunakan mi beras yang lebar dan leper digulung dan disajikan bersama kuah putih pekat berasaskan santan dan isi ikan dikisar halus.
Ditambah dengan ulam-ulaman segar, sambal belacan dan perahan limau, laksam menawarkan rasa lembut, lemak dan menyelerakan – sangat berbeza dengan laksa-laksa dari tempat lain di Malaysia.