[V] Pertama kali buat rendang, Tracie Sinidol akui susah dan renyah - "Saya baru tahu nak masak kena sabar"
MENJADIKAN rendang sebagai salah satu hidangan digemarinya, pelakon muda Tracie Sinidol mengakui makanan istimewa yang sangat dekat dengan perayaan Aidilfitri itu renyah untuk dihasilkan.
Walaupun berbeza agama dan budaya, pelakon berusia 25 tahun itu memberitahu pernah menghasilkan sendiri juadah rendang, namun terkejut kerana penyediaannya memerlukan kesabaran dan memakan waktu.
Kata Tracie, sebelum ini dia cuma mengetahui juadah rendang namun tidak tahu cara membuatnya yang memerlukan banyak bahan dan langkah yang agak rumit.

"Sebelum ini saya pernah masak sendiri rendang bersama rakan saya. Itu kali pertama saya masak rendang.
"Baru saya tahu, nak masak rendang bukannya mudah dan memerlukan masa berjam-jam.
"Bahan yang digunakan pun banyak," katanya ketawa.
MENARIK DIBACA: Dikecam, Kek Lapis Sultan RM1,800 terus dapat sambutan - "Kalau cinta, pasti takkan berkira"
MENARIK DIBACA: Pening sahur nak makan telur mata atau telur hancur? Boleh cuba menu viral ‘frambled eggs’
Berkongsi perbezaan juadah hari raya, juara program Dewi Remaja 2022 itu berkata di Sabah masih ada ketupat dan lemang, namun kedua-dua juadah itu tidaklah begitu popular seperti di Semenanjung.
Kata Tracie, di Sabah mereka lebih cenderung untuk menghasilkan juadah istimewa yang dikenali sebagau buras dan kelupis.

"Kalau di sini (semenanjung) popular dengan lemang dan ketupat, di Sabah juga ada tapi jarang.
"Di sana (Sabah) kami buat buras dan kelupis.
"Hidangan ini boleh dikatakan persis seperti ketupat dan lemang, bezanya ia dibalut dengan daun pisang dan dimakan dengan kuah kacang," kata penggemar hidangan ayam itu.
