[V] ‘Road trip’ sampai ke Kelantan, makanan pengikat cinta Aidit Noh dan isteri
BERKONGSI minat terhadap makanan menjadi pengikat cinta di antara pelakon Aidit Noh dengan isterinya iaitu Nur Atiqah Hanani.
Malah kata Aidit atau Ahmad Aidit Noh, 32, mereka sanggup memandu ke seluruh negara untuk memburu makanan sedap dan lokasi viral.
"Saya dan isteri suka 'memburu' tempat makan sebab kami memang suka makan.
"Pernah suatu ketika, isteri bangun pagi tiba-tiba ternampak video di TikTok satu tempat makan di Kelantan.

"Tanpa berfikir banyak, saya dan isteri terus memandu ke Kelantan semata-mata untuk makan di kedai tersebut," kongsinya kepada Kuali.
Tambah pelakon drama Setiaku Berdiri itu, mereka juga lebih suka memandu kereta berbanding menaiki kapal terbang untuk ke destinasi jauh.
Ini kerana kata Aidit, sepanjang perjalanan dia dan isterinya boleh menyinggah di banyak lokasi makanan.
MENARIK DIBACA: Api kena pelan, minyak jangan terlalu banyak... Rahsia kacang tanah goreng rangup dan sedap dikunyah
MENARIK DIBACA: Kerabu bunga kantan ikan bilis sedap dimakan begitu saja, menu ringkas tapi padu!
"Saya lagi suka memandu sebab banyak tempat makan kami boleh singgah nanti.
"Contohnya kalau ke Kelantan, saya boleh singgah di Pahang untuk makan patin masak tempoyak. Jadi memang rasa berbaloi dan tidak rasa penat," katanya.
Bercakap tentang makanan kegemarannya, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu memberitahu sangat menggilai masakan Thailand.

Bagi Aidit, makanan dari Thailand memang tiada tandingan dengan makanan-makanan lain, malah dia gembira jika hari jadinya diraikan dengan makanan dari negara Gajah Putih itu.
"Saya memang 'gila' dengan masakan Thailand.
"Selain tomyam, ada banyak lagi masakan Thailand yang sedap-sedap seperti 'pad Thai', ikan bungkus atau 'miang pla' dan sup ekor goreng.
"Kalau hari jadi saya, tak perlu belanja makan makanan barat (steak), cukup belanja makan masakan Thailand sahaja dah buat saya sangat gembira," katanya.