Mudah sangat buat roti kukus jagung! Gebu dan lembut kejadian, satu famili pasti suka
KALAU ada lebihan jagung manis di rumah dan tak tahu nak buat apa, resipi ini memang wajib dicuba.
Menggunakan bahan yang ringkas, anda boleh hasilkan roti kukus yang lembut, gebu dan kaya dengan rasa manis semula jadi jagung.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @ivth.sense, menyifatkan roti kukus jagung ini sebagai snek enak, mudah dibuat dan cukup memenuhi selera.
“Roti kukus jagung simple macam ni pun boleh jadi sedap gila.
"Tekstur lembut dan fluffy, rasa manis jagung pun balance. Buat berniaga pun ngam juga ni," katanya.

Berikut resipi lengkapnya!
Bahan-bahan:
- 2 tongkol jagung manis
- 500g tepung gandum
- 5g yis segera
- Air masak secukupnya
- Sedikit minyak masak
- Kulit jagung (untuk membungkus)
Cara membuat
- Kupas jagung dan asingkan kulitnya. Simpan kulit jagung untuk dijadikan pembungkus.
- Ambil isi jagung. Kisar atau tumbuk sebahagian isi jagung sehingga halus, manakala sebahagian lagi dibiarkan berbiji.
- Campurkan tepung gandum, yis segera dan jagung yang telah dikisar. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga doh menjadi lembut dan tidak melekat di tangan.
- Tutup doh dan biarkan ia mengembang selama kira-kira 1 jam 30 minit atau sehingga saiznya menjadi dua kali ganda.
- Masukkan baki isi jagung yang masih berbiji ke dalam doh. Uli perlahan sehingga semuanya sebati, kemudian rehatkan doh selama 10 minit.
- Rebus kulit jagung dalam air mendidih bersama beberapa titis minyak selama 30 saat. Angkat, toskan dan potong mengikut saiz yang sesuai.
- Bentukkan doh menjadi bujur kecil muat potongan kulit jagung, kemudian letakkan setiap doh di atasnya.
- Kukus menggunakan api sederhana selama 8 hingga 10 minit atau sehingga roti masak dan gebu.
- Angkat dan hidangkan ketika masih panas.