Masak lemak ketam paling senang, tapi teknik kena betul baru sedap!
MASAK lemak cili api ketam pasti akan mengingatkan kita pada masakan kampung apatah lagi kuahnya yang pekat dan pedas.
Ditambah pula ketam digunakan segar dengan rasa isi yang manis, mampu membangkitkan selera dan nostalgia hidangan air tangan bonda tercinta.
Hidangan mudah dan ringkas ini bukan sahaja enak tetapi cara penghasilannya juga tidak rumit.
Jika mengikut resipi orang dulu-dulu, juadah ini dimasak tanpa menggunakan minyak atau bawang tetapi rasanya tetap membuatkan menambah nasi.
Terfikir nak masak ketam masak lemak cili api pada hujung minggu nanti? Jom Kuali kongsikan resipi mudah dan ringkas untuk anda cuba di rumah.
MENARIK DIBACA: Tak perlu guna racun serangga, serbuk kopi dan daun pandan cara mudah singkirkan kamitetep
MENARIK DIBACA: Tak susah pun buat kuih cara, sedap dimakan panas-panas!
Bahan bahan
- 3 hingga 5 ekor ketam (dicuci)
- 1-2 biji kelapa (santan pekat)
- Segenggam cili api
- 1 inci kunyit hidup
- 1 batang serai (dititik)
- 1 helai daun kunyit (dihiris)
- Asam keping
- Garam
- Perasa
Langkah penyediaan
- Kisar cili padi dan kunyit sehingga lumat kemudian masukkan ke dalam periuk tanpa minyak.
- Masukkan serai yang telah dititik dan santan kemudian kacau sehingga larut dengan api sederhana.
- Sentiasa kacau supaya santan tidak berketul.
- Apabila hampir mendidih, masukkan ketam, daun kunyit, asam keping, garam dan perasa secukupnya. Biarkan seketika.
- Angkat dan sedia untuk dihidangkan.