Tambah petai terus bangkit selera! Resipi cencaru sumbat sambal pikat selera
BAYANGKAN aroma harum ikan bakar semerbak memenuhi ruang dapur dipadankan dengan sambal pedas memang nikmat.
Lebih menyempurnakan rasa, perahan limau nipis ditambah untuk memberi sentuhan segar dan seimbang pada ikan.
Resipi ikan cencaru sumbat sambal ini bukan sahaja mudah disediakan malah setiap suapan pasti memikat selera.

Sambal pedas manis yang digaul bersama bawang, halia dan belacan menghasilkan aroma menggoda menjadikannya hidangan ideal untuk santapan tengah hari atau malam bersama keluarga.
Sama ada dipanggang di atas kuali, digoreng atau dimasak menggunakan 'air fryer', ikan tetap kekal 'juicy' dengan sambal yang sedikit garing memberikan kenikmatan dalam setiap gigitan.
MENARIK DIBACA: [V] Pan Mi di MadChilli buat teringat-ingat, paling best boleh ‘refill’ secara percuma!
MENARIK DIBACA: Patutlah ibu hamil suka makan jeruk! Di sebalik rasa masam dan manis, ada khasiat tersembunyi
Untuk kelainan apa kata cencaru sumbat sambal kali ini dikombinasikan bersama petai.
Mahu resipinya? Jom Kuali kongsikan cara menyediakan cencaru sumbat sambal yang sedap ini.
Bahan-bahan
- 4 ekor ikan cencaru
- Garam secukup rasa
- Sedikit limau nipis
- 10 biji cili kering
- 5 biji cili merah
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 sudu besar belacan
- 1 sudu besar gula
- Garam secukup rasa
- Sedikit minyak untuk menumis
- 1 sudu besar jus limau nipis
- Petai
Cara penyediaan
- Tumbuk atau kisar cili kering, cili merah, bawang merah, bawang putih, halia dan belacan hingga halus.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan gula, garam dan jus limau nipis. Kacau rata dan boleh tambah sedikit gula atau air asam jawa.
- Lumurkan ikan dengan garam dan sedikit limau nipis.
- Sumbat sambal tadi ke dalam perut ikan dan sedikit di bahagian potongan sisi.
- Panaskan pemanggang, grill atau kuali jika mahu digoreng. Boleh juga gunakan 'air fryer'.
- Bakar ikan dengan api sederhana selama 10–15 minit setiap sisi sehingga masak dan sambal sedikit garing.
- Sesekali sapukan minyak atau sambal pada ikan semasa membakar supaya tidak kering. Taburkan petai.
- Angkat dan hidangkan panas-panas dengan nasi putih atau ulam-ulaman.