Tersalah pilih memang 'berasap' dibuatnya... Ada cara kenali tahap kepedasan cili kering
KALAU sebut fasal masakan Melayu memang tak sah kalau tak guna cili kering sebagai penyedap yang mampu membuka selera.
Namun tak semua cili kering mempunyai tahap kepedasan serupa memandangkan ada sesetengah daripadanya mempunyai rasa menyengat dan sebaliknya.
Kalau tersilap pilih, hidangan boleh menjadi terlalu pedas sehingga mampu merosakkan rasa sesuatu hidangan disediakan.
Sebab itu penting untuk tahu membezakan cili kiring mengikut tahap kepedasan supaya tidak tersalah beli.

1. Kurang pedas
Mungkin anda pernah melihat sejenis cili kering yang berbentuk pendek, berkilat, sedikit gemuk dan bulat.
Cili kering jenis ini biasanya kurang pedas berbanding cili lebih panjang dan runcing.
Meskipun sukar didapati di pasaran dek harganya yang mahal, cili jenis ini bagaimanapun lebih mudah ditemui di negeri Pantai Timur.

2. Sederhana pedas
Antara jenis cili kering paling biasa adalah berbentuk panjang dengan tekstur berkedut selain warnya sedikit kusam.
Cili ini biasanya menjadi pilihan dan mudah didapati kerana mempnyai tahap kepedasan sederhana.
Rasanya pula tidak terlalu menonjol, menjadikannya pilihan selamat untuk pelbagai jenis masakan.

3. Sangat pedas
Pernahkah anda perasan ada jenis cili kering yang panjang, licin, dan berkilat, dengan warna merah yang pekat serta penuh dengan biji?
Ada juga jenis yang lebih pendek, namun masih mengekalkan rupa yang licin dan berkilat.
Inilah cili kering paling pedas dan memberikan rasa yang paling ‘menyengat’ dan langsung tidak sesuai untuk mereka yang tidak tahan pedas.