Ada sebab sup ayam makanan terbaik ketika sakit, banyak betul kebaikannya
CUACA panas yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu membuatkan masalah seperti demam panas, migrain dan batuk mudah berlaku.
Selain bergantung pada ubat-ubatan klinik, beberapa sumber makanan juga mampu menjadi penawar ketika seseorang itu sakit.
Khasiat semula jadi terkandung dalam sumber makanan ini turut terbukti mempunyai manfaat tersendiri yang diamalkan sejak sekian lama.
Kuali kongsikan lima jenis makanan yang boleh anda makan sekiranya jatuh sakit untuk sihat dengan lebih cepat.

1. Madu asli
Madu memiliki sifat anti bakteria yang baik untuk melegakan batuk.
Pengambilan satu sudu madu setiap hari boleh meredakan rasa gatal pada tekak dan mengurangkan kahak.

2. Sup ayam
Sup ayam cukup sinonim sebagai makanan ketika sakit dan sebenarnya ia merupakan sumber terbaik meredakan demam disebabkan ia kaya dengan vitamin, mineral, kalori dan protein.
Semangkuk sup ayam juga kaya dengan elektrolit yang boleh membantu tubuh anda daripada dehidrasi disebabkan cirit-birit, muntah dan berpeluh.
Sup ayam juga kaya dengan asid amino yang mampu menguraikan mukus serta memiliki sifat antiviral, antiradang dan antioksidan.

MENARIK DIBACA: Jangan risau kalau tak suka lobak merah, ini 5 makanan lain untuk sihatkan mata
MENARIK DIBACA: Air coklat campur buah-buahan cetus letupan rasa dalam mulut, buat penghilang dahaga dalam cuaca panas
3. Teh panas
Teh merupakan sumber semula jadi untuk memberikan kelegaan pada tekak dengan mengurangkan kahak.
Bukan itu sahaja, dengan mengamalkan pengambilan teh juga boleh melegakan hidung tersumbat selain mengurangkan hingus.

4. Oat
Oat kaya dengan kalori, vitamin dan mineral penting dan boleh menjadi pembuka selera bagi mereka yang sedang sakit.
Ia mengandungi serat yang mampu mengurangkan keradangan pada perut selain meningkatkan fungsi dan sistem pencernaan.

5. Air Kelapa
Air kelapa diketahui kaya dengan sumber gula semula jadi selain elektrolit yang diperlukan tubuh dalam menurunkan suhu badan ketika demam.
Namun disarankan mengambil air kelapa secara sederhana kerana pengambilan secara berlebihan boleh membawa kepada masalah perut kembung.