Bajet RM150 seminggu, boleh beli barang dapur lengkap! Wanita kongsi tip, elak terlebih belanja
NAMPAK promosi, terus ambil. Ada tawaran ‘beli dua percuma satu’, makin susah hendak menolak. Akhirnya tiba di kaunter pembayaran, jumlahnya jauh tersasar dari bajet.
Situasi itu biasa berlaku kepada mak-mak lebih-lebih lagi apabila melihat terlalu banyak tawaran menarik di pasar raya.
Seorang pengguna Threads berkongsi bagaimana dia mengurus bajet RM150 membeli barangan dapur bagi tempoh seminggu untuk keluarga kecil terdiri daripada tiga orang.
“Dulu saya masuk pasar raya tanpa senarai. Nampak promosi terus masuk troli. Nampak ‘buy 2 free 1’ juga ambil.

“Balik rumah baru sedar barang banyak, tapi tak tahu nak masak apa. Keluarga kecil saya tiga orang saja,” kongsinya.
Kongsinya, kini dia lebih teratur dengan membahagikan RM150 mengikut kategori serta menentukan menu terlebih dahulu sebelum keluar membeli-belah.
1. RM50 untuk protein
Protein menjadi antara peruntukan terbesar kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis hidangan.
Antara pilihan yang boleh dibeli termasuk ayam, telur, ikan atau tauhu.
2. RM30 untuk sayur dan buah
Cadang wanita itu, pilih sekitar tiga hingga empat jenis bahan boleh dipelbagaikan sepanjang minggu.
Cara ini juga memudahkan bahan makanan dihabiskan sebelum rosak.

3. RM25 untuk karbohidrat dan barang asas
Beras, mi, roti dan kentang antara bahan boleh dimasukkan dalam kategori ini.
Jika stok di rumah masih mencukupi, lebih baik gunakan dahulu apa yang ada sebelum membuat pembelian baharu.
MENARIK DIBACA: 'Resign' kerja bank demi buka kafe, usahawan berjaya bangkit lepas 2 kali hampir bankrap
MENARIK DIBACA: Peniaga kongsi ramuan buat serbuk perasa, sesuai untuk pelbagai jenis masakan
4. RM25 untuk barang dapur
Baki RM25 pula diperuntukkan bagi bahan yang digunakan untuk menyediakan hidangan.
Antaranya termasuk bawang, bawang putih, cili, sos, santan dan rempah.
5. RM20 untuk kudap-kudapan
Bajet rendah untuk membeli snek, susu, yogurt atau makanan kudap-kudap digemari keluarga.
6. Tentukan menu sebelum berbelanja
Cuba rancang sekurang-kurangnya enam menu utama bakal dimasak untuk seminggu.
Dengan cara ini, pembelian dibuat berdasarkan menu dirancang.

7. Sediakan makanan untuk seminggu
Amalkan cara memasak makanan sejuk beku untuk kegunaan sepanjang minggu. Sesetengah barangan dibeli boleh disediakan lebih awal dan bertahan lebih dari seminggu.
8. Jangan membeli ketika lapar
Elakkan membeli barangan dapur ketika perut kosong kerana ketika lapar, hampir semua makanan di rak nampak menarik.
Seperti kata wanita itu, RM150 boleh bertukar menjadi RM230 dengan sangat pantas jika membeli tanpa perancangan.
Jadi, sebelum menolak troli masuk ke pasar raya, mungkin tidak salah untuk semak stok di rumah dan tetapkan menu terlebih dahulu.