Pesakit cerita rawat jangkitan hidung guna ayam gepuk, doktor tercengang!
KEPEDASAN sambal ayam gepuk sering membuatkan ramai 'tewas', namun bagi seorang wanita hidangan itu menjadi 'penyelamat' apabila didakwa membantu melegakan masalah jangkitan hidung dialaminya.
Menurut wanita dikenali sebagai Natasha Aleza, dia mengalami jangkitan selepas menjalani pembedahan, menyebabkan dirinya dapat menghidu bau busuk seakan-akan bau kepam di dalam hidung.
Walaupun sudah mengambil antibiotik dan melakukan cucian hidung menggunakan botol pencuci sinus (sinus rinse) yang diberikan oleh doktor, masalah tersebut masih berlarutan.

"14 Julai, bau busuk dalam hidung datang semula. Aku dah cuci guna sinus bottle, makan antibiotik, semua dah buat tapi tak jalan. Memang stres sebab bau kepam dalam hidung," katanya.
Dia dalam masa sama memesan ayam gepuk dan berjaya menghabiskan sambal pedas berkenaan.
Tidak lama kemudian, hingus yang dipercayai berpunca daripada jangkitan berjaya dikeluarkan dari hidung.
MENARIK DIBACA: Lelaki 'nobat' ayam gepuk makanan paling 'overrated'! Biasa je, tak layak pun dipuji
MENARIK DIBACA: Rupanya ayam gepuk tak popular di Indonesia! Cuma dimakan mahasiswa sebab murah
Beberapa hari kemudian, masalah sama kembali berulang sehingga mengganggu tidurnya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memesan ayam gepuk untuk kali kedua.
"Merana aku tak boleh tidur. Esoknya aku 'order' ayam gepuk lagi. 'Repeat' lagi. Kali ini keluar lagi banyak," jelasnya.
Wanita itu turut memaklumkan perkara tersebut kepada doktor yang merawatnya dan beliau tercengang kerana tidak pernah mendengar situasi sedemikian.
"Terus dia tergelak, dia kata pertama kali dia dengar pesakit hilangkan bau busuk guna ayam gepuk," ujarnya.

Makanan pedas biasanya tidak digalakkan diambil sepanjang tempoh pemulihan, namun wanita itu mengakui dia terpaksa 'melanggar pantang' asalkan masalah tersebut hilang.
Dari sudut saintifik, makanan pedas mengandungi capsaicin, iaitu sebatian aktif dalam cili yang boleh merangsang penghasilan lendir serta menyebabkan hidung berair buat sementara waktu.
Tindak balas itu berpotensi membantu melonggarkan dan mengeluarkan mukus yang terperangkap pada sesetengah hidung individu.
Bagaimanapun, ayam gepuk atau makanan pedas bukanlah rawatan terbaik, sebaiknya dapatkan nasihat daripada pakar.