Betul ke telur dah basuh boleh letak dalam peti sejuk, belum dicuci simpan di luar? Ini penjelasannya
TELUR sebenarnya perlu dicuci dan disimpan dalam peti sejuk, atau boleh sahaja dibiarkan terdedah pada suhu bilik?
Itulah persoalan yang sering bermain di fikiran setiap kali mahu menyimpan telur kan?
Ada yang yakin peti sejuk adalah ruang simpanan paling selamat, ada pula yang berpendapat menyimpan di luar lebih semula jadi dan tidak merosakkan kualiti telur.
Pertanyaan itu diajukan oleh seorang individu di laman Threads, susulan seorang warga maya berkongsi pandangannya mengenai cara selamat menyimpan telur.
"Kalau telur yang dicuci, simpan dalam peti sejuk. Kalau yang tidak dicuci, simpan di luar. Kedua-duanya (dalam dan luar) boleh, terpulang kepada individu.
"Cuma kalau boleh elakkan simpan telur yang belum dicuci dalam peti sejuk untuk mengelakkan pencemaran silang (cross contamination) kerana telur belum dibasuh mungkin mempunyai najis.

"Jika ada najis, bakteria boleh wujud dan mencemarkan makanan lain dalam peti sejuk seterusnya boleh menyebabkan keracunan makanan," kongsinya.
Seorang lagi netizen yang pernah menghadiri kursus pengendalian makanan pula tampil berkongsi caranya sendiri.
"Sebaiknya letakkan di luar dan basuh hanya apabila hendak digunakan (ini memang cara saya). Letak dalam peti sejuk pun tidak mengapa tetapi jangan basuh terlebih dahulu kerana kulit telur mempunyai lapisan pelindung. Jika sudah dibasuh bakteria lebih mudah masuk. Tetapi kadang-kadang kita pun takkan nak simpan telur kotor dalam peti sejuk sebab ada juga yang ada najis melekat," katanya.
MENARIK DIBACA: Wanita buat bolognese letak budu ganti sos worcestershire, Kelantan 'mendonia' - "Sedap sampai langit"
MENARIK DIBACA: Suka buang lebihan minyak dalam singki? Cuba trik mudah ini, dijamin tak tersumbat
Disebabkan berlaku percanggahan pendapat, rata-rata netizen keliru dengan kedua-dua pandangan tersebut.
Seorang lagi individu yang pakar dalam bidang sains tampil menjelaskan kekeliruan ini dengan memberikan penerangan secara saintifik.

Menurutnya, telur tidak perlu dibasuh sebelum disimpan kerana ia mempunyai lapisan pelindung semula jadi yang menghalang bakteria daripada masuk.
Jika telur sangat kotor, cukup sekadar dilap dengan kain kering, dan basuh hanya apabila hendak memasaknya.
Dari segi penyimpanan pula, peti sejuk lebih digalakkan kerana ia dapat mengekalkan kesegaran telur lebih lama, iaitu sehingga empat hingga lima minggu serta melambatkan pertumbuhan bakteria.
"Suhu di bahagian pintu peti sejuk sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil setiap kali pintu dibuka dan ditutup.
"Sebaiknya, letakkan telur dalam bekas khas yang tertutup bagi mengelakkan bau telur diserap atau menyerap bau makanan lain," jelasnya.